NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peletakan jawatan selaku Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif Boustead Holdings Berhad berkuat kuasa esok.

Menurut Mohamed Khaled, peletakan jawatan itu sebagai mengambil tanggungjawab selaku ahli UMNO yang akan terus akur dan hormat dengan sebarang keputusan serta ketetapan parti.

Kata beliau, UMNO secara jelas telah membuat ketetapan untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Boustead yang telah memberi komitmen serta kerjasama sangat baik sepanjang perkhidmatan saya selaku Pengerusi sejak Mei 2020.

“Saya yakin dan percaya syarikat kini berada di landasan tepat untuk terus berperanan dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara khususnya dalam memastikan pulangan berterusan kepada pemegang saham utama iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Baca artikel berkaitan: Shamsul Anuar letak jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli

Mohamed Khalid menjadi individu pertama yang meletakkan jawatan selaku pengerusi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) selepas Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah turut meletakkan jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli semalam.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara, sepakat menarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

“Muhyiddin mesti ambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan, perlu letak jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

“Surat Akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menarik sokongan adalah mencukupi,” katanya dalam sidang media secara maya selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, semalam.

Shamsul Anuar yang juga Ahli MKT UMNO dalam kenyataan sebelum itu turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat di samping membantu memperkuat UMNO dalam menghadapi situasi politik yang mencabar.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram