buah zuriat untuk mengandung

Benar, anak itu rezeki daripada Allah. Namun berusaha untuk memperolehnya itu adalah ikhtiar yang amat digalakkan.

Justeru, bagi pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga namun belum dikurniakan anak sebagai pengikat kasih sayang dalam keluarga serta penyambung keturunan, apa sahaja sanggup dilakukan, termasuklah berpesan kepada sesiapa yang ingin menunaikan haji atau umrah agar dibawa pulang sejenis buah yang diberi nama Buah Adam!

Entah dari mana datang sebutan buah Adam tidaklah diketahui asal usulnya. Namun yang pasti kerana asal keturunan manusia bermulanya dari Adam, mungkin ada sinonimnya buah tersebut diberi nama sebegitu. Apatah lagi buah Adam ini dipercayai telah tumbuh sejak zaman dahulu lagi di Tanah Arab. 

Buah Adam atau buah yang dihasilkan dari pokok yang diberi nama Doum yang hampir menyerupai pokok kelapa sawit ini dalam bahasa saintifiknya disebut sebagai Hyphaene Thebaica

Di Malaysia, selain disebut buah Adam, ia juga dipanggil sebagai buah zuriat.  Dipercayai, buah tersebut telah menjadi salah satu dari ramuan herba kuno masyarakat Mesir dan Afrika secara turun temurun dan dipercayai mempunyai banyak khasiat tersendiri.

Kenapa buah zuriat?

Mengikut sejarah, buah zuriat ini juga dipanggil buah Adam dan Hawa kerana dikatakan mampu memulihkan dan mengembalikan kestabilan hormon pasangan suami isteri yang mahu menimang cahaya mata.

Sejarah buah zuriat dikatakan berasal dari pokok kayu kokka yang sering digunakan dalam pembuatan barangan hiasan seperti gelang dan juga tasbih. Harganya dikatakan cukup mahal kerana kualitinya. 

Diceritakan, kerana kualiti itulah, maka ia dipilih sebagai bahan asas dalam pembuatan bahtera Nabi Nuh a.s. tatkala Allah menurunkan bala untuk kaum yang ingkar terhadap perintah Allah.  Dan apabila ribut dan banjir besar berlaku, maka bahtera ini terselamat dari musnah dengan izin Allah.     

Alam semula jadi sebagai herba

Berbalik pada kisah buah Adam, di Mesir, pokok zuriat ini di taman sejak zaman purba lagi. Pokok ini juga dianggap sebagai pokok suci yang melambangkan kekuatan seorang lelaki. Selain untuk perubatan, rakyat Mesir menggunakannya sebagai sumber makanan. 

Begini keadaan buah zuriat apabila dibelah dua

Kulitnya yang berwarna coklat bersabut digunakan sebagai pati pekat manis sirap. Inilah antara salah satu sumber alam semula jadi yang dimanfaatkan sebagai salah satu sumber dalam kaedah perubatan.  Dikatakan juga hampir 65 sehingga 80 peratus penduduk dunia menggunakan tumbuhan semula jadi sebagai sumber asas kesihatan termasuklah pokok zuriat ini.

Bermula dari daun, bunga, akar, biji, buah dan kulit pokok, ia menjadi sebahagian dari ubat-ubatan tradisional.

Pokok buah Adam, dikenal pasti sebatiannya pada lapisan nipis kramotografi yang menunjukkan buah doum mengandungi banyak buih, coumarins, hydroxycinnamates, minyak pati dan juga flavonoids. Mengikut kajian, buah ini mampu mengurangkan tekanan darah pada haiwan yang diuji kerana ekstrak larutan buah doum ini menunjukkan aktiviti antioksidan. Hal ini menyebabkan sejumlah besar kandungan mampu larut di dalam air.

Pelbagai kelebihan

Bukan buahnya sahaja, malah hampir keseluruhan pokok mempunyai kebaikan dalam perubatan. Akar pokok zuriat ini turut digunakan dalam rawatan bilharziasis yang melibatkan gigi. Manakala getahnya digunakan untuk melawaskan kencing, mengeluarkan peluh, jangkitan cacing dan mengurangkan gigitan haiwan.

Tiada tempoh matang untuk mengambil buah ini dari pokok. Bila-bila masa sahaja ia boleh dipetik. Buah yang berbentuk bujur yang bersaiz buah ciku ini mempunyai fizikal yang sangat keras dan sukar untuk dipecahkan.

Tambahan lagi kulitnya agak licin. Tetapi buah ini juga dikatakan boleh digunakan untuk menggosok bahagian luaran jika mengalami sebarang kesakitan. Dengan izin Allah akan berkurangan. Istimewanya, dari ekstrak buah zuriat ini, boleh dijadikan minyak untuk dibuat sapuan. 

Apa pun, isi kandungan kelembapan buah ini bergantung pada iklim sesuatu tempat. Difahamkan, buah zuriat sukar untuk dikupas di Malaysia ekoran iklimnya yang kering menyebabkan sabut dan tempurungnya kekeringan.

Kerana itu jika di baling ke dinding sekalipun, buah itu tidak pecah, malah dinding pula yang rosak. Jadi boleh anda bayangkan di Mesir, buah sekeras ini dijadikan menu harian mereka.

Menurut seorang pengamal herba dan rawatan alternatif, Dr Samir Hilo dalam laman webnya menyatakan, buah doum ini bagus untuk mengatasi masalah ketidaksuburan di kalangan wanita. Begitu juga dengan debunga buah kurma juga dipercayai mempunyai khasiat yang sama.

Terangnya lagi, pokok besar yang memiliki ketinggian sehingga 20 meter ini tumbuh di kawasan terbuka dan berlembah. Biasanya di tempat yang mempunyai air di bawahnya seperti sungai dan pantai. Buah zuriat juga senang ditemui di utara Arab Saudi kerana iklimnya yang sesuai dengan kehendak pokok tersebut.

Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr Samir Hilo, menunjukkan buah zuriat mampu dijadikan ubat-ubatan secara tradisional kerana ia mengandungi pelbagai kebaikan seperti lima peratus protein beku, lima peratus protein bersih, 10 peratus lemak, 35 peratus gentian dan 1.5 peratus abu. Khasiat-khasiat ini terdapat pada kulit buah yang masih muda.

Manakala kajian Dr. W. Federson dari Harvard University mengatakan buah ini mengandungi lebihan sehingga 40 peratus zat besi dan memiliki ion Fe yang tinggi, sekali gus amat berguna bagi wanita yang mengalami kesukaran untuk hamil.

Bagaimana kaedah makan buah zuriat?

Usah terperanjat hanya kerana sebiji buah ini, kaedah untuk menggunakannya begitu banyak. Ada yang merebusnya dengan buahnya sekali, ada yang sedaya upaya mengupasnya lalu merebus biji yang ada di dalam buah tersebut dan tidak kurang ada yang mengikis kulit luar tersebut untuk dijadikan serbuk lalu dicampurkan ke dalam air minuman.

Buah zuriat mempunyai banyak khasiat perubatan dan buahnya seakan pinang atau kelapa sawit

Tapi ada satu cerita yang agak sedikit lucu apabila buah tersebut hanya perlu diletakkan di bawah bantal! Dan apabila isteri hamil, buah berkenaan akan menjadi selembik-lembik nya dan mudah dipecahkan hanya dengan menggenggamnya tanpa perlu menggunakan kudrat yang begitu kuat.  Percayakah anda?

Terpulanglah. Yang penting usaha, sekalipun agak sukar diterima dek akal. Namun di negara-negara Asia Barat seperti Saudi, Mesir dan Sudan, mereka hanya perlu mengetuk sekitar kulit buah zuriat tersebut seperti memecahkan kulit telur lalu serbuk yang terhasil itulah digunakan untuk dicampurkan ke dalam makanan!  

Cara 1

Petua di bawah ini adalah penyediaan air buah zuriat melalui kaedah rebusan tanpa kulit. Potong Buah zuriat dengan menggunakan pemotong daging atau parang. Buah ini mempunyai kulit dalam yang keras dan sangat sukar untuk membelah tempurungnya. Berhati-hati sewaktu memotong bagi mengelakkan tangan terluka.

Kemudian, setelah tempurungnya terbelah dua. Ambil bahagian isi yang berwarna putih seperti isi kelapa dan potonglah beberapa bahagian lagi sehingga kecil. Setelah itu, rebus buah tersebut dengan memasukkan tiga gelas air. Rebus sehingga tinggal segelas dan warna air bertukar kepada warna coklat.

Tiada batasan waktu untuk menggunakan air rebusan ini. Sebaiknya amalkan minum air tersebut pada waktu pagi dan malam. Bagi mereka yang tidak sukakan minuman tanpa rasa boleh campurkan dengan sedikit madu.

Cara 2

Berlainan dengan yang memerlukan rebusan buah zuriat dalam tempoh tertentu dalam air yang menggelegak, cara kedua ini hanya melibatkan rendaman buah zuriat. Dikhuatiri, rebusan terlalu lama akan menyebabkan khasiatnya hilang akibat suhu tinggi.

Cara kedua ini hanya melibatkan rendaman dalam air suam selama lima sehingga enam jam. Bezanya petua kedua ini adalah dengan menggunakan teknik merendam sahaja

Buah zuriat adalah salah satu ikhtiar untuk memperoleh anak.

Sebagaimana cara pertama. Buah tersebut juga perlu dipotong dengan menggunakan pisau atau sebarang peralatan keras yang boleh membelahnya. Kemudiannya ambil isirung buah tersebut dan dipotong-potong kecil. Setelah itu hanya rendam dalam air suam selama lima hingga enam jam.

Rebus biji dan isirungnya, sehingga air bertukar warna seakan-akan teh. Air rebusan ini diamalkan minumnya selama 44 hari atau sehingga mengandung. Air ini diminum bersama suami isteri dan hampas rebusan ini diulang rebus sehinggalah air rebusan itu bertukar warna menjadi putih kembali baru di ganti dengan buah yang baru.

Namun begitu tidak ada cara yang tepat dalam menggunakan buah zuriat ini. Terlalu banyak pandangan dan cara yang telah dipraktikkan oleh masyarakat sejak zaman dahulu lagi. Apa pun cubalah, baru tahu khasiatnya, kan!

___________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram