Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid. GAMBAR: Abd Razak Aid

AHLI Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tidak menerima sebarang maklumat berhubung laporan kononnya beliau akan dilantik sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Perkara itu diumumkan menerusi ciapan dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Menurut Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO, beliau tidak menerima sebarang makluman mengenai pelantikan bagi menggantikan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkuat kuasa 9 Ogos depan.

“Saya tidak ada menerima sebarang makluman mengenai berita yang disebarkan sejak semalam,” katanya dalam ciapan itu hari ini.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli semalam selepas mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.

Baca artikel berkaitan: Shamsul Anuar letak jawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli

Dalam kenyataan semalam, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat di samping membantu memperkuat UMNO dalam menghadapi situasi politik yang mencabar.

Nama Mahdzir yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) disebut-sebut menggantikan tugas Shamsul Nasarah bagi menggalas jawatan berkenaan.

sebelum ini pernah menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau & Air dari Mei 2013 hingga Julai 2015, sebelum memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan sehingga 2018.

Beliau juga adalah bekas Menteri Besar Kedah dari Disember 2005 hingga Mac 2008.

Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Mahdzir pernah menjadi pengerusi Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), selain Timbalan Pengerusi Penggalakan Pelancongan Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram