PERHIMPUNAN ahli Parlimen Pembangkang yang cuba berarak ke bangunan Parlimen yang ditutup akibat penularan COVID-19, baru-baru ini. - Gambar media sosial

AHLI-AHLI Parlimen pembangkang dan bebas mendesak satu sidang khas Parlimen diadakan segera atau selewat-lewatnya Isnin depan untuk membolehkan usul undi percaya dibentangkan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mereka dalam satu kenyataan berkata, adalah tidak munasabah bagi sebuah kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.

“Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September,” kata kenyataan itu.

Muhyiddin dalam sidang akhbar hari ini berkata kerajaan akan membentangkan usul undi percaya kepadanya sebagai Perdana Menteri sebaik Parlimen bersidang seperti dijadualkan bulan depan.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH PEMBANGKANG:

“Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang bersependapat bahawa satu sidang khas Parlimen mesti diadakan SESEGERA MUNGKIN TIDAK LEWAT DARI 9 OGOS berasaskan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Kami tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri ini ditangguhkan sehingga bulan September

Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah Kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.

Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak COVID-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu, dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang.

Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawasanya usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekaligus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri.

  • Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat) KEADILAN)
  • Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara, AMANAH)
  • Lim Guan Eng (Parti Tindakan Demokratik, DAP)
  • Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah, WARISAN)
  • Mukhriz Mahathir (Parti Pejuang Tanah Air, PEJUANG)
  • Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, UPKO)
  • Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu, PSB)
  • Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Ikatan Demokratik Malaysia, MUDA)
  • Maszlee Malik (Bebas)