ANTARA kenderaan membawa pemimpin kerajaan keluar dari kediaman Perdana Menteri. - Gambar BERNAMA

PERJUMPAAN sebahagian menteri kanan Kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, selesai dengan kenderaan membawa pemimpin-peminpin tersebut dilihat beredar kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi.

Antara yang dilihat meninggalkan kediaman Perdana Menteri termasuk kenderaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Selain itu, turut dilihat keluar ialah kenderaan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, memetik laporan Berita Harian.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan kepada pihak media setakat ini selepas empat jam mereka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.

BERITA BERKAITAN TPM, Peguam Negara dan menteri kanan antara hadir di kediaman Muhyiddin malam ini

Difahamkan, perjumpaan tergempar itu diadakan susulan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media petang tadi mendakwa parti itu mempunyai surat akuan mencukupi daripada Ahli Parlimen mereka untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, surat akuan itu sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan selepas mengunjungi kediaman Perdana Menteri, Ismail Sabri dilihat tiba di Hotel Seri Pacific tengah malam tadi dipercayai untuk bertemu dengan lebih 20 ahli parlimen UMNO yang mahu mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional.

Dia tiba di kawasan hotel tersebut kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Antara ahli parlimen yang sudah sedia menunggu di situ ialah Shahidan Kassim (Arau), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dan Nazri Aziz (Padang Rengas).

Maklumat awal menyatakan Shahidan sedang mengumpul sejumlah ahli parlimen UMNO untuk menyatakan sokongan kepada PN dalam pertemuan di bangunan terletak bersebelahan dengan Ibu Pejabat UMNO.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram