SELEBRITI lelaki yang ditahan pada Ahad lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan, ACP Ramlan Abdul Razak ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Kami dah bagi jamin semalam, bagaimanapun kes ini masih dalam siasatan,” katanya memetik laporan Bernama.

Semalam, media melaporkan selebriti lelaki berumur 40-an itu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks, dalam satu sekatan jalan raya di sekitar negeri ini.

Susulan penangkapan itu, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah dekat sini dan mendapat perintah perlindungan sementara untuk ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut dikenakan kompaun atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Sementara itu, nama pelawak Tauke (Jambu) antara yang disebut-sebut sebagai selebriti yang diberkas polis.

Walau bagaimanapun, Tauke atau Zamratul Amri Zakaria,45, menafikan penglibatannya dalam kes terbabit.