ISU vaksin di peringkat global mutakhir ini sangat menarik dengan beberapa perkembangan penting berlaku di beberapa negara.

Semalam misalnya, Jerman mengumumkan pemberian suntikan ketiga atau booster kepada rakyatnya bermula September ini.

Sebelum ini, Jerman antara terawal melakukan suntikan campuran dari dua pengeluar teknologi berbeza.

Dan yang melakukannya adalah Canselor Jerman sendiri, Angela Merkel. Pertama beliau mengambil AstraZeneca (viral vector) dan kedua adalah Moderna (mRNA).

Buat masa ini, suntikan ketiga yang diluluskan Jerman bukan untuk semua tetapi akan diberikan kepada golongan rentan termasuk warga emas.

Suntikan ketiga ini melibatkan semua jenis vaksin yang dalam portfolio negara itu sama ada jenis viral vector mahu pun mRNA.

Negara itu juga sebelum ini memutuskan untuk memberikan suntikan kepada remaja 12 hingga 17 tahun.

Rakan ASEAN, Kemboja sudah memulakan dan langkah itu juga bakal diikuti United Kingdom (UK) tidak lama lagi.

Kemboja memulakan program vaksinasi dalam kalangan remaja sejak beberapa har lalu,/ Gambar media sosial.

Namun, memetik laporan media, pihak berkuasa kesihatan UK buat masa ini akan mengehadkan kepada remaja 16 dan 17 tahun terlebih dahulu.

Paling awal melakukan langkah ini ialah Scotland yang hanya menunggu kelulusan akhir jawatankuasa vaksinasi.

Untuk rekod, hampir 39 juta penduduk dewasa UK telah lengkap menerima dua dos vaksin setakat semalam.

Ketika ini, program vaksinasi diperhebatkan dalam kalangan penduduk berusia 25 tahun ke bawah setelah keutamaan awal kepada mereka yang berusia.

Dengan kadar vaksinasi yang tinggi itu, banyak sektor sudah dibuka hampir seperti biasa kecuali pelancongan antara negara yang masih ada sekatan.

Justeru, Kesatuan Industri British (CBI) – pertubuhan perniagaan utama di negara itu terus memberi desakan kepada kerajaan supaya membenarkan ekonomi “hidup bersama COVID”.

Di Malaysia, kadar vaksinasi sudah merangkumi hampir satu pertiga penduduk dewasa – tetapi ada negeri yang masih belum sampai 20 peratus kadarnya.

Pegawai Kesihatan memberi suntikan Vaksin Covid-19 kepada salah seorang orang asli pada Program Vaksin Komuniti Orang Asli di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Kuala Langat, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hari ini, Perlis, Sarawak dan Labuan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermakna hampir semua sektor ekonomi dibenarkan.

Yang belum dibenarkan, perniagaan berisiko tinggi seperti khidmat urut dan pusat hiburan manakala rentas daerah sudah dibenarkan dan dine-in boleh tapi terhad dua pelanggan semeja.

Negeri-negeri lain harus menunggu beralih ke fasa lain dengan sebahagian negeri masih di Fasa 1 PPN.

Baca artikel berkaitan: UK beli sampai 500 juta dos vaksin, apa mereka nak buat?

Teliti mendalam kelonggaran dua dos, Singapura juga tidak dapat mencari titik noktah

Bagi peniaga yang tidak dibenarkan beroperasi, mereka semakin buntu dan mengharapkan ada pendekatan baru dari kerajaan sementara menanti beralih fasa.

Harapan mereka, apa sahaja jenis perniagaan dianggap penting kerana ada mulut yang mesti diberi makan dan ada sewa yang perlu dibayar – sama seperti pemilik kilang-kilang pengeluar barangan sektor penting.

Tanyalah pemilik kedai gunting rambut, tukang jahit mahu pun kedai cuci kereta.

Besar menggunung harapan mereka dibenarkan beroperasi biarpun dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana itu lebih baik.

Sekarang ini pun ada khabarnya yang menutup pintu depan tetapi pintu belakang dibuka untuk pelanggan dengan temu janji. Ini soal kelangsungan hidup.

Macam-macam cara dilakukan bagi survival. Semua kita sama akan melakukan apa sahaja untuk terus bertahan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram