HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN. Gambar FB Wisma Putra

AKSES vaksin COVID-19 menjadi isu hangat di peringkat global berikutan tindakan negara kaya membolot bekalan vaksin.

Malah, ada negara-negara di Eropah dan Amerika Utara membuat perolehan vaksin sehingga berkali ganda melebihi jumlah penduduk mereka.

Berikutan itu, kadar vaksinasi global jelas tidak seimbang antara negara-negara maju dengan negara membangun dan dunia ketiga.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengetengahkan isu monopoli vaksin dan kepentingan pengagihan vaksin secara saksama pada mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin malam ini.

Forum anjuran Kementerian Luar China secara dalam talian itu akan menumpukan kepada usaha peningkatan kapasiti pengeluaran vaksin dan kerjasama teknologi vaksin agar ia lebih mudah diperoleh pada harga berpatutan oleh negara-negara membangun, bagi memerangi pandemik COVID-19.

Baca artikel berkaitan: UK beli sampai 500 juta dos vaksin, apa mereka nak buat?

Hungary sebahagian EU, bolot vaksin pukal – KJ

Sultan Johor kecewa kadar vaksinasi negeri itu masih rendah

Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, Hishammuddin juga akan menyentuh mengenai keperluan segera untuk semua negara mendapat akses bagi perolehan vaksin kerana ia adalah kaedah terbaik menangani pandemik ini.

Forum itu dipengerusikan Penasihat Negara China Wang Yi dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara-negara peserta dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa.

Pada 18 November 2020, Malaysia dan China telah memeterai Perjanjian Kerjasama Pembangunan dan Akses Vaksin, membolehkan Malaysia membeli vaksin buatan China dan memulakan kolaborasi teknikal dalam teknologi pembangunan vaksin, terutamanya bagi aspek persijilan halal.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram