PENYANYI Siti Sarah yang sarat hamil tujuh bulan dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras selepas tahap oksigen dalam badan semakin menurun.

Isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu dibawa dengan ambulans kira-kira pukul 6.30 petang semalam (Rabu) untuk mendapatkan rawatan.

Menurut pengurusnya, Nana Mohd. Rom, Sarah sepatutnya akan memotong gelang kuarantin semalam, namun sejak kelmarin keadaan kesihatannya sedikit merosot.

“Sarah sekeluarga sepatutnya memotong gelang kuarantin hari ini (semalam) tetapi keadaan kesihatannya kurang memuaskan akibat batuk dan penurunan oksigen dalam badan membuatkan Sarah terpaksa mendapatkan rawatan lanjut, katanya.

Dalam pada itu, Shuib memohon agar orang ramai mendoakan kesihatan serta kandungan isterinya berada dalam keadaan yang baik.

“Saya mohon doakan isteri saya. Semoga dia dan anak dalam kandungan diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan,” ujarnya.

Sebelum ini Sarah, Shuib serta anak-anaknya disahkan positif Covid-19 pada 25 Julai lalu.

Mereka menjalani ujian saringan selepas pembantu rumahnya dijangkiti wabak tersebut dan disahkan positif.