DR Zulkifli menerima kunjungan Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan, di pejabat di Putrajaya semalam. Foto FACEBOOK DATUK DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

ARAB Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan berikutan kadar vaksinasi yang pantas di negara ini, di sebalik kes jangkitan Covid-19 yang tinggi.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa menerima kunjungan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien bin Saeed Qattan, semalam.

Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, di samping kepantasan vaksinasi, keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes Covid-19 hanya di tahap 1 dan 2 serta kadar kesembuhan pada 81.37 peratus turut menzahirkan sistem pengurusan kesihatan Malaysia yang teratur.

“Alhamdulillah, Duta Besar Arab Saudi memaklumkan kepada saya bahawa mulai 1 Ogos lalu, Arab Saudi membuka pintunya kepada para pelancong daripada 49 buah negara termasuk Malaysia.

“Ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia,” tulisnya di akaun rasmi Facebook beliau malam tadi.

Bagaimanapun kata Dr Zulkifli, Malaysia buat masa ini masih menunggu kenyataan rasmi dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.

“Saya ingin menyeru untuk umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah SWT agar wabak Covid-19 segera pulih agar kita dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua buah negara.

Ujarnya, sumbangan 1 juta dos AstraZeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief) amat dihargai.

“Hanya Allah SWT yang selayaknya mengganjari Khadimul Haramain al-Syarifain, Putera Mahkota dan Kerajaan Arab Saudi atas bakti ini,” tambahnya.