BERKEBOLEHAN meningkatkan sistem imunisasi tubuh, memperbaiki tahap tenaga dan mengurangkan tekanan, telah melonjakkan kehadiran vitamin B5 sebagai makanan tambahan yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hadir dalam kebanyakan sumber makanan, vitamin B5 atau dikenali sebagai asid pantothetic bagaimanapun mudah termusnah melalui pemprosesan dan penyediaan makanan. Oleh itu, kekurangan vitamin ini melalui pengambilan secara semula jadi adalah biasa.

BAGAIMANA VITAMIN B5 BERFUNGSI
Seperti vitamin B yang lain, asid pantothetic penting untuk menukarkan makanan kepada tenaga. Ia juga berguna untuk menukar kolina kepada asetilkolina iaitu sejenis enzim kimia yang menghubungkan impuls getaran di antara saraf dengan otot, bagi membolehkan badan berfungsi dengan baik.
Selain itu, asid pantothetic turut menjalankan fungsi dalam mengawal penurunan lemak dalam badan dan berguna semasa diet untuk menurunkan berat badan. Sebagai tambahan, ia mampu merangsang pertumbuhan sel yang membantu memelihara kesihatan rambut, kulit dan mempercepatkan penyembuhan luka.

PENAWAR DALAM ASID PANTOTHETIC
Melegakan tekanan
Asid pantothetic dapat menurunkan tahap tekanan emosi dengan membantu menghasilkan hormon anti tekanan dan mengawal tindakan kelenjar adrenal yang meningkat sewaktu minda berada dalam keadaan tertekan.
Kesihatan Jantung
Ia juga bertindak merendahkan tahap kolesterol dan membantu melindungi jantung daripada penyakit.

Jangkitan
Selain itu, asid pantothetic sangat diperlukan untuk menghasilkan antibodi iaitu protein yang memusnahkan subjek asing dalam darah bagi membantu melawan sebarang jangkitan.
Masalah Rambut dan Kulit
Asid pantothetic juga dikatakan menghindar rambut daripada gugur dan beruban. Kebiasaannya, ia ditambah dalam syampu dan penyubur rambut. Ia turut membantu penyembuhan kulit dan mempercepatkan pemulihan luka.
Asid pantothetic mudah didapati dalam makanan dan juga dalam tisu badan manusia. Nama panthos diambil daripada bahasa Greek yang bermaksud, di mana sahaja.

KEKURANGAN ASID PANTOTHETIC MENGUNDANG:
❍ lesu
❍ kerisauan dan kemurungan
❍ kurang tumpuan
❍ tangan dan kaki mencucuk-cucuk
❍ kejang otot dan menggeletar serta bergoyang
❍ sakit kepala

VITAMIN B5 SEBAGAI MAKANAN TAMBAHAN
Tablet multivitamin lazimnya mengandungi 6 mg vitamin B5, yang mencukupi bagi seseorang individu untuk mengekalkan kesihatan dan mengelakkan kesan kekurangannya pada tubuh.
Menjelang peningkatan umur, sukatan sehingga 300 mg boleh diambil dan ia akan berfungsi dengan lebih baik jika diambil bersama dalam kelompok vitamin B-kompleks.
Elakkan tabiat kerap mengambil pil tidur, pil perancang, kafeina, alkohol dan merokok kerana bahan-bahan ini boleh mengurangkan kesan vitamin B5.

BERHATI-HATI
Setakat ini, vitamin B5 dikesan tidak memberi kesan toksik kepada tubuh manusia. Bagaimanapun, seseorang individu tidak digalakkan mengambil lebih daripada 300 mg sehari tanpa pengawasan daripada pakar perubatan. Sesetengah individu pula akan mengalami sakit perut apabila mengambil dos vitamin B5 dalam sukatan berlebihan.
FAKTA VITAMIN B5
Jumlah pengambilan harian sebenar yang disyorkan (RDA-Recommended Daily
Allowance) untuk dewasa: 6mg
FUNGSI ASAS:
❍ meningkatkan tenaga
❍ sistem imunisasi lebih aktif
❍ memelihara kulit dan rambut
❍ mengurangkan tekanan

SUMBER
Vitamin B5 mudah didapati dalam hampir kesemua jenis makanan. Bagaimanapun, ia mudah termusnah semasa penyediaan, memasak dan pemprosesan seperti membeku atau mengetin. Sebagai contoh, proses memasak daging boleh menyingkirkan kandungan asid pantothenic sehingga lebih 1/3 bahagian kandungan asalnya dalam bahan itu.

Vitamin B5 boleh didapati:
❑ Royal jelly
❑ Yis
❑ Hati
❑ Kekacang
❑ Bijirin penuh
❑ Telur