ain husniza
Kisah Ain Husniza yang mendapat pelbagai reaksi masyarakat. Gambar: Taipei Times

PELAJAR sebuah sekolah menengah hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes fitnah terhadap seorang guru dan Institusi Perguruan di Malaysia.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, pelajar berkenaan hadir kira-kira 5.30 petang bersama bapanya, dan memberi keterangan kira-kira sejam.

Memetik laporan Bernama.com. beliau berkata, siasatan itu dibuat susulan laporan yang diterima pihaknya pada 5 Mei lepas daripada seorang guru lelaki ekoran dakwaan kenyataan berbaur fitnah serta mengaibkan dirinya sebagai seorang guru serta Institusi Perguruan di Malaysia.

“Ia didakwa berlaku semasa wawancara di media sosial Utusan Online pada 30 April berkenaan isu guru pendidikan Jasmani yang menyebut tentang elemen rogol, semasa proses pembelajaran di dalam kelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelajar perempuan itu dipanggil untuk tujuan rakaman percakapan bagi membantu proses siasatan berkenaan aduan terhadap laporan polis yang dibuat oleh pihak pengadu, dan kedua-dua individu hadir dengan ditemani peguam Datuk Sankara Nair dan Elyse Ng Zi Qian.

BERITA BERKAITAN Bermula jenaka rogol: Guru dipindah, kini lelaki ditahan polis kerana ancam bunuh

Sementara itu, portal Malaysiakini.com melaporkan bapa dan pelajar tersebut menyatakan akan mengemukakan saman balas terhadap guru lelaki berkenaan.

Peguam mereka, Sankara Nair berkata, anak guamnya akan mengemukakan saman itu dengan surat tuntutan saman akan diserahkan pada Isnin depan.

Terdahulu Ain Husniza Saiful Nizam, 17 dan bapanya, Saiful Nizam Abdul Wahab hadir di IPD Sungai Buloh.

Bercakap kepada wartawan di luar IPD berkenaan, Ain berkata polis melayaninya dengan baik dan bersikap profesional ketika siasatan dilakukan.

“Polis sangat baik, mereka profesional. Saya dan ayah akan beri kerjasama dalam siasatan. Saya sangat berharap dapat melihat keputusan kes ini,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram