SELEPAS lebih dua minggu bertarung nyawa dengan COVID-19, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

Berita sedih itu diumumkan Setiausaha Pemuda Amanah, ‘Asim Abdullah Ainullotfi dalam catatan di akaun Facebook rasmi parti itu.

“Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat dan rakan seperjuangan kami, saudara Shazni Munir telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Mohon doa dan sokongan daripada semua agar keluarga beliau kuat lalui ujian ini,” katanya dalam hantaran itu.

24 Julai lalu, Shazni Munir yang juga Ketua Pemuda Amanah dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas disahkan positif COVID-19 awal minggu sama.

Baca artikel berkaitan: Ketua Pemuda PH kritikal akibat Covid-19

Pada ketika itu, Shazni Munir berada dalam kategori 4 iaitu menghidap radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Dalam hantaran di Facebook ketika itu, Asim Abdullah memaklumkan isteri dan anak Shazni Munir yang turut disahkan positif COVID-19 sedang dikuarantin di rumah sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak berkuasa kesihatan.

Pada 31 Julai lalu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dalam Twitter memberitahu Shazni Munir terpaksa ditidurkan selepas mengalami jangkitan kategori 5.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram