sungai furat dari syurga

Hari sudah semakin senja. Matahari yang tadinya galak memancarkan cahaya, mula perlahan-lahan menyembunyikan diri. Namun raut wajah lelaki itu masih tetap tidak berubah. Dia hanya merenung sungai yang terbentang luas di hadapannya dengan pandangan sayu.

Sudah lebih dari separuh abad dia mengabdikan diri pada sungai yang banyak menyumbang jasa padanya sekeluarga. Bukan padanya sahaja, tetapi turut juga berjasa pada orang-orang kampung yang tinggal di sekitarnya. Entah sudah berapa lama agaknya sungai ini mengalir dan akan terus mengalir

Sungai yang menjadi sumber utama pendapatannya merupakan sungai yang penuh dengan kemuliaannya di sisi Allah. Ia merupakan antara empat sungai yang mengalir di syurga sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Baginda s.a.w. sewaktu menuju ke Sidratul Muntaha.

Menurut riwayat dari Malik b. Sha’sha’ah dalam hadis tentang Mi’raj ke Sidratul Muntaha, ada disebutkan bahawa Baginda s.a.w. telah bersabda,

“….Kemudian aku diangkat menuju ke Sidratul Muntaha, di bawahnya ada empat buah sungai, dua sungai yang tersembunyi dan dua sungai lainnya jelas terlihat. Aku menanyakan hal itu kepada Jibril. Maka Jibril menjawab, “Dua sungai yang tersembunyi adalah di dalam syurga, sedangkan dua sungai yang jelas terlihat adalah sungai Nil dan Furat.” (HR Bukhari)      

Malah dia juga pernah dengar hadis lain tentang sungai ini. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. itu menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Tidak terjadi hari kiamat sehingga sungai Furat (sungai Euphrates iaitu sebuah sungai yang ada di Iraq) menjadi surut airnya sehingga ternampak sebuah gunung daripada emas. Ramai orang yang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh 99 daripada 100 orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata, “mudah-mudahan akulah orang yang terselamat itu.”

Di dalam riwayat lain ada disebutkan,

“Sudah dekat suatu masa di mana sungai Furat akan menjadi surut airnya, lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ janganlah ia mengambil sesuatu pun dari harta itu.” HR Bukhari & Muslim

Sungai Furat adalah nadi utama bagi penduduk di sepanjang sungai tersebut

Ya! itu yang menjadi kebimbangannya. Sungai yang selama ini menjadi nadi kehidupannya sekeluarga akan kering kontang. Bahkan dia juga turut risau andainya, hubungan erat yang terjalin di kalangan penduduk selama ini juga menjadi goyah, kerana berperang merebutkan emas yang disebutkan.

Adapun sungai yang disebutkan oleh Baginda s.a.w. dalam hadis tersebut merupakan sungai yang terletak di Asia barat bermula dari Turki dan melalui negara-negara Syria, Jordan, Arab Saudi, Kuwait dan Iraq.

Sejarah sungai Furat

Panjangnya sungai ini adalah sejauh 2781KM. Sungai yang dikenali dengan Furat atau Euphrates ini merupakan sungai yang berkembar dengan sungai Tigris, demikian menurut Hanif Md Lateh @ Junid, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan dan Kemahiran Kolej Komuniti Bentong, saat diminta penjelasannya.

Menurutnya, jika kita merujuk kepada perspektif tamadun, di dalam kitab Mu’jam Buldan jilid 4 terdapat bab yang menerangkan tentang topografi sungai Furat. Ia bermula dari bumi Armenia, dan mengalir ke Rom sehingga ke Malta.

Kemudian terus mengairi bijirin hitam di negara Iraq. Serta akhirnya akan bertemu dengan sungai Dijlah (Tigris) dan terus mengalir keluar ke Teluk Arab di mana dahulunya lebih dikenali dengan Lautan Hindi.

Jelasnya lagi, jika sungai ini mampu berbicara, pastinya ia akan mengambil masa bertahun lamanya merungkai segala peristiwa sejarah, yang pernah berlaku di sungai tersebut. Manakan tidak, sungai ini telah wujud semenjak dari zaman Tamadun Mesopotamia lagi, iaitu merupakan antara tamadun terawal dalam sejarah dunia. Bahkan perkataan Mesopotamia itu sendiri membawa maksud “antara dua sungai” kerana terletak antara sungai Tigris dan juga sungai Furat.

Bayangkan ia telah wujud sejak 4000 tahun sebelum masihi lagi, dan masih mengalirkan air hingga kini. Cukup lama bukan. Sepanjang itu juga, telah banyak tamadun-tamadun besar yang berdiri megah silih berganti menghiasi perjalanan sungai ini.

Sungai Furat pernah mengalami kemarau hingga muncul binaan arkeologi purba tamadun terdahulu.

Antara tamadun silam yang pernah berkolaborasi, membentuk jajahan pentadbiran dengan sungai Furat ini ialah tamadun Sumeria, Parsi, Umayyah, Abbasiyah, Uthmaniyyah dan lain-lain lagi.

Malah jika dikira dari aspek ketamadunan, maka tamadun yang dikaitkan secara konsisten dengan sungai Furat adalah Tamadun Mesopotamia, Tamadun Parsi serta Tamadun Islam. Maka tidak mustahil apabila baginda s.a.w. menyatakan bahawa, apabila sungai Furat menjadi surut akan nampaklah emas setinggi gunung, kerana tinggalan harta dari tamadun-tamadun tersebut.

Sambungnya lagi, setelah zaman silih berganti, didapati bahawa sungai Furat telah mula menyusut airnya dari keadaan asal. Oleh yang demikian, sewaktu pemerintahan presiden Saddam Husayn di Iraq pada pertengahan 80-an, beliau telah membina tembok atau empangan di sepanjang sungai Furat di Iraq.

Lantaran dari tindakannya itu telah menjadikan air sungai meningkat naik, sehingga menenggelamkan sebahagian besar kawasan, yang ada antaranya terdapat binaan tinggalan tamadun terdahulu.

Namun begitu pada tahun 2009 berlaku pula kemarau sehingga mengakibatkan air sungai Furat menjadi susut. Kesannya hingga menampakkan hampir 90 peratus kawasan yang dahulunya tenggelam. Dari situ telah muncul binaan-binaan arkeologi purba tamadun terdahulu. Melalui video bertajuk al-Dhahabi fi Nahr al-Furat, dapat dilihat juga aktiviti mendulang emas dilakukan oleh penduduk di wilayah Anbar.

Emas atau petrol, yang mana satu?

Jika kita lihat pada hadis tersebut, sebenarnya terdapat perbahasan tentang apakah yang dikatakan emas di sini. Menjadi persoalannya, samada emas yang dikatakan itu berbentuk zahir atau ianya adalah maksud tersirat yang memberi erti petrol, kerana jika kita lihat berlaku percanggahan tafsiran hadis berkaitan dengan perkataan jabal min zahab (harta dari emas).

Ada sebahagian tafsiran menyatakan bahawa ianya adalah emas dalam erti kata sebenarnya, manakala sebahagian lain menyatakan ianya adalah emas hitam yang diertikan sebagai petrol.

Emas yang dinyatakan dalam hadis adalah emas yang sebenar bukanlah petrol.

Merungkai persoalan ini, menurut Hanif lagi, sememangnya terdapat perbahasan dari kalangan ulama hadis tentang pentafsiran hadis ini, di mana hadis tersebut telah direkod oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, sebagai hadis yang sahih (muttafaqun alayh).

Oleh itu secara keseluruhannya ia mentafsirkan bahawa, emas dalam hadis tersebut merupakan emas hakiki dan bukannya emas hitam (petrol). Antara hujah-hujahnya mereka adalah yang pertama, petrol bukanlah sejenis dari emas, dan diketahui umum bahawa emas adalah sejenis bahan galian yang berbeza dari petrol.

Kedua, di dalam hadis tersebut, telah disebut bahawa sungai akan menjadi surut, manakala emas tersebut akan dilihat oleh manusia. Tetapi sebaliknya, seperti kita maklum bahawa petrol tidak dapat dilihat tanpa melakukan kerja cari gali dalam bumi. Walaupun ianya surut hingga kering sekalipun, petrol tidak akan dapat dilihat tanpa kerja cari gali, tetapi emas boleh dilihat tanpa kerja cari gali dalam perut bumi.

Ketiga, pengkhususan Furat sebagai sungai yang disebut Rasulullah s.a.w. dalam hadis tersebut, jika petrol adalah emas yang dimaksudkan oleh Rasulullah, maka seharusnya Rasulullah turut juga menyebut sungai-sungai atau laut-laut lain kerana petroleum boleh sahaja didapati dari dasar sungai dan laut selain dari sungai Furat.

Keempat, larangan Rasulullah s.a.w. dalam hadis tersebut supaya jangan mengambil harta di situ, hadis ini sebenarnya bertetapan juga dengan hadis riwayat dari Ubay ibn Ka’ab, katanya,

Hampir tiba masanya, sungai Furat surut mendedahkan gunung emas. Jika orang-orang mendengar hal itu, mereka berjalan ke sana. Maka orang-orang di sana mengatakan, `Jika kita membiarkan orang-orang mengambilnya, mereka pasti akan mengambil seluruhnya’. Beliau bersabda, “Maka mereka bertempur di atasnya sehingga setiap seratus orang terbunuh sembilan puluh sembilan.” – HR Muslim”

Oleh yang demikian, dari larangan Rasulullah dalam kedua-dua hadis ini, didapati secara zahirnya disebutkan emas, maka tidak didapati hadis lain yang menggunakan perkataan lain, seperti petroleum (al-Naft) atau hasil bumi dan sebagainya. Selain itu mana mungkin petrol boleh diambil begitu sahaja di kalangan yang hadir, sedangkan petrol adalah cecair dan bukanlah bersifat pepejal.

Tambahnya, kita juga boleh merujuk pada kitab Ithaf al-Jama’ah, karangan Hamud bin Abd Allah, tahun 1394H. Ulasan yang dibuat Syaikh Hamud Abd Allah adalah mirip perbincangan yang telah diutarakan di atas. Bagaimanapun Syaikh Hamud telah memberikan matan 7 buah hadis, dan kesemuanya memberikan perkataan yang sama iaitu emas. Tidak dalam bentuk perkataan selain emas.   

Sungai Furat telah wujud sejak 4 ribu tahun yang lalu dan tetap mengalir hingga kini.

Dalam pentafsiran makna hadis, adalah lebih baik sekiranya kita mengambil sikap berhati-hati. Ini kerana belum ditemui hadis lain yang menyokong bahawa emas dalam hadis tersebut adalah merupakan emas hitam, maka secara ilmiah lebih baik kita mengambil maksud, bahawa ianya adalah emas pada erti emas yang sebenarnya.

Jika hendak dilebarkan tafsiran tersebut, boleh juga kita anggap emas tersebut merupakan apa jua bentuk peninggalan dari tamadun terdahulu yang tengelam dalam sungai Furat.

Sementara itu menurut al-Hafiz ibn Hajar, Baginda s.a.w. melarang sesiapa mengambil emas itu adalah untuk mengelakkan dari timbulnya fitnah dan peperangan. Ini kerana sudah menjadi fitrah dan tabiat manusia, akan saling berperang dan berbunuhan hanya semata-mata untuk meraih nikmat harta dunia yang sementara.

Sedangkan harta yang sedikit sudah berlaku pertumpahan darah, apatah lagi melihat emas setinggi gunung. Wallahu a’lam

__________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram