PENDIRIAN 31 Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) diharap akan menghentikan polemik politik yang sedang berlaku ketika ini.
Harapan itu disuarakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pendirian 31 Ahli Parlimen BN itu juga memberi ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menangani COVID-19, mempercepatkan proses vaksinasi dan memulihkan ekonomi negara.
Pada masa sama, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan semua Ahli Parlimen BN yang bersama-sama menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN.
“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas pendirian mereka yang bersetuju bahawa keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen pada bulan September dalam usul undi percaya dan bukan melalui kaedah lain.
Baca artikel berkaitan: 31 Ahli Parlimen BN terus sokong PN, junjung titah Agong
Tidak bertanggungjawab jika lari medan perang – Ismail Sabri
“Ini adalah selaras dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong yang disampaikan kepada saya semasa sesi menghadap di Istana Negara pada hari Rabu lalu.
“Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan dalam kita berhadapan dengan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 31 Ahli Parlimen BN diketuai Ismail Sabri terus menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut menegaskan, kesemua 31 Ahli Parlimen BN itu turut sebulat suara menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan supaya keabsahan kerajaan ditentukan menerusi usul undi percaya di Parlimen.
Menurut Ismail Sabri, 31 Ahli Parlimen yang telah menyatakan persetujuan dan sokongan itu termasuk Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang akhbar penarikan sokongan kepada PN, Selasa lalu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

