

PELUMBA basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir acara keirin selepas muncul juara saringan ketiga di Velodrom Izu, Tokyo sebentar tadi.
Walaupun pada awalnya seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dilaporkan menarik diri selepas terjatuh dalam saringan kedua tetapi beliau kembali menyertai saingan repechages dan seterusnya berjaya mengiringi rakannya, Azizulhasni ke suku akhir.
Dalam saringan kedua, Shah Firdaus terlibat dalam kemalangan di pertengahan perlumbaan selepas dihimpit pelumba Britain Jack Carlin.
Dalam kemalangan itu, Shah Firdaus mengalami kecederaan bahu kiri dengan seluar dan bajunya terkoyak.

Dia dan seorang lagi pelumba yang terbabit dalam kemalangan itu tidak bermula apabila saringan kedua itu diulang semula dan hanya empat pelumba terbabit.
Di peringkat reperchage, Shah Firdaus memutuskan untuk berlumba biarpun pada awalnya pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN) tidak membenarkan untuk dia meneruskan aksi kerana kecederaaan dialami.
Beraksi pada pusingan repecharge terakhir, Shah Firdaus menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Browne Kwesi dari Trinidad and Tobago.
Azizulhasni dan Shah Firdaus akan menyertai perlumbaan peringkat suku akhir esok. – UtusanTV