MENARIK kisah minggu ini, ia diceritakan oleh seorang ibu tunggal mewakili sahabat-sahabatnya yang menamakan kumpulan mereka `Mekar Sejambak’. Mereka menceritakan pengalaman pahit manis dalam rumah tangga, bukan bertujuan membuka aib sendiri atau menghina mahupun memperkecil kaum lelaki yang seakan-akan lupa tanggung jawab, tetapi lebih kepada menyedarkan wanita tentang nasib serta masa depan mereka. 

“Memang bukan semua wanita setuju dengan apa yang kami perkatakan, tetapi mereka akan setuju setelah sama-sama jatuh dalam lubuk penderitaan. Bahawasanya suami zaman sekarang bukan tempat isteri meletak harapan dan jadi tempat bergantung. apatah lagi untuk membahagiakan keluarga.’’ Itu pengakuan Puan Husna ketika kami berbual di telefon.  

“Ramai wanita terlalu percayakan suami boleh membahagiakan hidup mereka, hingga mereka lupa ketentuan Allah. 

“Saya bukan bercakap dari pengalaman sendiri sahaja, tetapi mewakili luahan hati sahabat lain. Ada antara mereka rakan saya semasa sekolah menengah, ada juga ketika di Universiti. Sebenarnya dalam Mekar Sejambak ada 12 orang sahabat yang aktif, namun yang lain suka berahsia, hanya suka dengar cerita kawan lain untuk menenangkan hati. 

“Kami terputus hubungan setelah bekerja dan berkahwin. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini kami bertemu kembali, melalui telefon dan jadi rapat di alam maya serba canggih ini. 

“Bila berkumpul masing-masing menceritakan diri sendiri, tentang kerjaya, anak-anak dan hal-hal rumah tangga. Akhirnya terungkailah masalah demi masalah, hingga tiada lagi rahsia antara kami. Sebab masalah kami hampir sama. Ada antara kami terluka hampir sakit jiwa kerana sikap suami, tapi tidak ada tempat mengadu. 

“Teringat zaman dulu bila habis belajar sementara cari kerja, kami sering berlumba sesama sendiri `siapa cepat laku, siapa dulu naik pelamin’.  Akhirnya kebas sahaja mana-mana lelaki yang kelihatan baik melayan kita. Bab ini memang ramai yang kecundang, akhirnya ada yang bercerai. Ada yang masih bertahan kerana sayangkan suami demi anak-anak. 

Akibat nak kahwin cepat, sudahnya sebahagian anggota kumpulan Mekar Sejambak hadapi masalah rumah tangga.

“Rina sahabat pertama saya temui. Lepas Rina seorang demi seorang kami cari, tujuan asal nak cari kawan lama, menyambung silaturrahim, tetapi akhirnya jadi lain bila masing-masing mencurahkan isi hati yang tak boleh dipendam lagi. Mereka sedar mereka ada masalah keluarga, tetapi tak semua berani bertindak keluar dari masalah itu. Kata hikmah mereka, kalau bercerai mereka jadi papa, sebab semua gaji suami yang simpan. 

“Rina bekerja sebagai guru, suami pensyarah, dia ambil cuti tak bergaji ikut suami sambung belajar, tiga tahun di luar negara. Di sana sempat lahirkan dua orang anak. Bila balik sambung bekerja semula, niat nak bantu adik-adik belajar, tetapi suami suruh buat joint akaun. Semua gaji suami pegang, alasannya untuk beli rumah dan untuk masa depan. 

“Setiap hari bekerja, suaminya Wan, bekalkan RM15 untuk makan dan beli keperluan peribadi. Akhirnya niat nak bantu pelajaran adik-adik hanyut tenggelam. Setiap tahun balik berhari raya di kampung, hanya Rina dan anak-anak, suami sibuk. Sekali sekala dia muncul. 

“Kata Rina, masa muda suami ajak buat joint akaun dia ikut aja kerana sayangkan suami, tapi kini bila umur dah dekat 50 tahun, terasa gementar sikit. Takut suami menyempang. Pernah tanya suami berapa banyak simpanan, katanya tak cukup buat ubah suai rumah. Akhirnya sampai sekarang duduk rumah kerajaan. 

“Bulan berganti tahun, anak bertambah ramai, tetapi kehidupan semakin terhimpit. Rina terkejut bila ternampak buku ASB Wan beratus ribu. Sedangkan Rina buku ASB pun tak ada. Bila ditanya, semua untuk masa depan. 

“Ketakutan Rina jika suaminya berubah hati, sebab riak-riak suka menghensemkan diri semakin jelas. Rina terfikir apa akan jadi jika benda buruk berlaku dalam perkahwinannya. Sedangkan dia rumah pun tak ada. Ketakutan dan kerisauan inilah Rina ceritakan kepada kami sahabat Mekar Sejambak. 

“Sekarang lagi teruk. Nak minta duit beli baju atau tudung mahal pun tak dapat, alasan Wan jangan membazir, lebih baik simpan duit.  

“Pandangan saya lain, masa mudalah kita beli rumah, dah dekat pencen nanti ansuran rumah dah selesai, jadi bila pencen kepala otak tak berserabut dengan hutang. Tapi cakap Wan kita tak boleh bantah. Buntang biji mata marahkan kita. Memang saya sakit jiwa.  

Rina serahkan semua pendapatannya kepada suaminya, Wan. Akhirnya wang simpanan Wan yang menimbun, sedangkan Rina…!

“Seorang lagi sahabat kami, Hawa namanya, lulusan SPM, suami pun sama, mereka kahwin dulu. Awal perkahwinan semuanya berjalan sempurna, walaupun Hawa banyak menguruskan hal keluarga. Hinggalah mereka dapat dua orang anak, perubahan perangai suaminya, Dee, semakin terserlah. Macam-macam hal Hawa mesti uruskan. 

“Siapa boleh tahan kalau setiap kali ke pasar, apa lagi ke pasar raya, semua Hawa keluar belanja. Alasan Dee, belum gaji, dan setiap bulan tak cukup duit, sedangkan gaji mereka lebih kurang sama. Ke mana perginya gaji Dee? 

“Satu lagi perangai buruknya, Dee rajin temankan Hawa ke pasar raya, sebab nak beli barang keperluannya sendiri. Sampai masa nak beratur di kaunter, Dee menghilang. Memanjang itulah perangainya sengaja suruh Hawa bayar. 

“Tak cukup itu, Dee buat bajet tetapkan Hawa beli barang keperluan dapur, bayar bil utiliti, astro, dan barang basah (ikan, ayam). Kalau hari raya lagi teruk, Dee tak peduli pakaian anak-anak, malah baju Melayu dia pun suruh Hawa siapkan. Itu belum masuk beli kuih raya untuk keluarganya di kampung. Mana nak cekau duit? 

“Tambah membebankan, keluarga Dee tetapkan setiap tahun bab beli daging buat rendang jadi tanggung jawab Dee. Tapi bukan Dee keluar duit, Hawa yang Dee paksa. Alasannya dia kena bayar tol dan petrol bila balik kampung yang teramat jauh tu. Peliknya kalau balik kampung Hawa. Hawa yang kena bayar.

“Masa muda dan anak baru seorang, dua, bolehlah Hawa keluar belanja, tapi bila anak sudah empat orang dan semakin besar, memang Hawa tak mampu lagi. 

“Bukan Hawa tak protes, pernah dua tahun Hawa tak balik kampung Dee. Beraya, kampung Hawa pun Hawa tak balik. Hawa buat keras hati, tetapi bertengkarlah  jadinya. 

“Apa yang menyakitkan hati, Dee suka berjudi. Mulanya memang tak tahu, tapi kalau sudah berbelas belas tahun duduk serumah, takkan mata kita buta lagi. Sejak Hawa ternampak kertas nombor dalam kasutnya, Hawa tanya Dee, akhirnya mereka bertengkar. 

“Patutlah Dee mahu Hawa bayar sewa rumah flat yang mereka duduk yang tak mahal harganya, ansuran kereta terpakai dan petrol. Rupa-rupanya duit dia habis berjudi.

“Kerana tak tahan diperhamba dan selalu bergaduh, Hawa buat tuntutan cerai, tapi macam biasalah bukan senang nak dapat. Turun naik mahkamah dah banyak kali, tapi Dee tak pernah datang. Kes tertangguh berkali-kali. 

Hawa beri duitnya pada Dee, rupa-rupanya duit itu suaminya gunakan untuk berjudi.

“Sementara itu Teena seorang guru siswazah, suaminya buat bisnes. Tak sampai lapan tahun kahwin, ketika anak masih kecil, tetiba bisnes suaminya, Jo, kucar-kacir. Alasannya  banyak saingan, mulalah nak berubah jenis perniagaan, ikut nasihat kawan. Bila tak cukup modal, pujuk Teena pinjam duit buat berniaga, janjinya bila untung nanti dia akan bayar hutang. 

“Masalahnya, bila bisnesnya nak untung? Makan masa tahun baru nak untung. Sementara nak untung tentulah Teena kena bayar loan bank, kan? Mana nak cari duit.    

“Peliknya masa berduit tak pandai pulak bagi duit lebih pada isteri atau buat simpanan sendiri. Bila tak ada duit, mintak kat isteri. Teena kata dia tak ada duit, sebab selama ini dia yang banyak uruskan makan minum dan persekolahan anak-anak, bukan Jo. 

“Cuma sesekali Jo bagi duit, itu pun boleh dikira dengan jari. Biasanya setiap bulan Teena akan minta duit untuk belanja rumah. Kalau Jo beri RM500, itu sudah bagus.

“Kata Teena, dia sudah lama bersabar, dari anak masih sekolah rendah hinggalah empat orang anak masuk menengah. Mereka sering bertengkar kerana duit. Alasan Jo, kalau nak senang, nak tengok dia berjaya buat bisnes, mesti bantu dia, bagi pinjam duit. Teena pula berdegil tak mahu pinjam bank sebab dia boleh jangka masalah yang bakal dihadapi. 

“Kerana sering bertengkar, Jo selalu tampar Teena. Dan Teena halau Jo keluar. Seminggu Jo hilang, kemudian balik lagi. Hubungan mereka jadi lebih masam. Teena buat surat perjanjian dan minta Jo tanda tangan, jika Jo pukul lagi, maka jatuhlah talak. 

“Kerana bisnes bankrap, Jo jadi kaki lepak. Semua urusan keluarga jadi urusan Teena. Jadi tak hairanlah kalau mereka sering bergaduh. Kata Teena, dia malu dengan perangai Jo, bukan sahaja pada anak-anak yang semakin remaja, tetapi dengan jiran tetangga.

“Teena tambah kecewa bila keluarga Jo salahkannya kerana tidak membantu Jo. Kata mereka, hidup bersuami isteri mesti saling membantu. Sama sama susah, sama sama senang. Masalahnya hidup dengan Jo sepanjang masa susah, tak pernah senang. Keluarganya tak tahu sebab dengar temberang Jo. 

“Akhirnya Teena bercerai bila Jo langgar surat perjanjian yang dia tanda tangan tak boleh pukul Teena lagi. Kata Teena, dia berasa lega selepas bercerai. Nasihat Teena kepada keluarga Jo, jangan salahkan menantu jika tak selidik perangai anak sendiri. 

Teena dan Jo selalu bergaduh pasal duit. Akhirnya jatuh talak selepas Jo melanggar janji dengan memukul Teena.

Sementara itu pengalaman saya sendiri, jangan percaya suami yang pujuk kita supaya berhenti kerja, sebab sebenarnya dia tak mahu bayar upah pengasuh anak. Katanya mengasuh anak kerja orang perempuan, jadi suruh saya berhenti kerja. 

“Saya boleh berhenti kerja, tapi fikirkan pendapatannya bukanlah besar sangat, takat anak seorang berdua bolehlah, bila bertambah jadi lima, tak pening kepala? Lagi teruk bila anak meningkat remaja, lagi seksa bila empat orang sekolah menengah. Aduh, waktu itu bila anak minta duit sekolah dia akan menengking. Mulalah keluar perkataan `Korang menyusahkan hidup aku aje, sekolah pun bukan pandai sangat, baik berhenti je!’ Perkataan itu bukan saja menyakitkan hati anak-anak, tetapi saya juga. 

“Tambah sakit hati bila dia memuji isteri orang lain pandai masak, tak menyusahkan hati suami dan pandai didik anak pandai belajar. Macam-macamlah yang menyakitkan hati kita. Saya sedar semua itu kerana dia kedekut duit. 

“Tapi lebih mengejutkan saya, dalam kata tak ada duit, dia pergi Mekah buat umrah sendirian. Seminggu lagi nak pergi baru beritahu saya. Harapan saya dia berubah kepada kebaikan. Ajaibnya, bila balik dah ada kekasih. Terkejut saya bila sahabat bagitau. Tapi dia nafikan. 

“Malangnya orang tua bila tengah bercinta selalu lupa diri. Teknologi zaman ini, gambar jadi bukti. Bila dah kantoi, terbukalah isi hati dia memang nak kahwin sebab wanita tersebut janda berada, umur pun sebaya. Hajatnya bila kahwin boleh ringankan beban tanggung isteri tak bekerja seperti saya. 

“Tapi saya bukan `kebulur’ suami sangat. Kalau tak suka saya, kita berpisah. Prinsip hidup saya, takkan berebut suami, saya boleh cari rezeki sendiri walaupun dengan menjahit. Tapi syarat saya rumah ini beri pada saya dan anak-anak. Dia boleh duduk rumah janda kaya. 

Saya tak menyesal bercerai. Yang saya kesal ialah ikut cakap dia suruh saya berhenti kerja,

“Sahabat tanya, tak menyesal ke? Jawab saya mudah, saya tak kesal hilang suami, tapi menyesal berhenti kerja kerana ikut cakap suami. Lepas berhenti baru saya faham betapa susahnya minta duit suami.’’ Itu kata Husna menamatkan ceritanya.         

Kesimpulannya, kami Mekar Sejambak berazam didik anak-anak lelaki kami  supaya bertanggung jawab beri makan, pakaian dan pelajaran kepada anak isteri. Biar gaji kecil, tetapi berbelanjalah ikut kemampuan. Sebelum kahwin cerita dengan jujur kepada bakal tunang atau kekasih. Jangan minta lebih daripada kemampuan diri. 

Kepada anak perempuan pulak, kalau dah bekerja, jangan memandai nak berhenti kerja. Jangan bodohkan diri, sanggup pikul tanggung jawab suami uruskan makan minum dan keperluan keluarga. Lebih teruk jika bagi semua pendapatan kepada suami. Sebab bila suami banyak duit, suami mudah berubah hati. Nombor dua sentiasa di hati 

“Sebab itu wanita zaman sekarang mesti melengkapkan diri `baca’ perangai suami masing-masing, dan jangan fikir semua yang suami buat terbaik untuk keluarga, sebaliknya perancangan suami yang terbaik hanya untuk  diri mereka sendiri. Saya bukan menghasut isteri melawan suami, tetapi bersiap sedialah jika ditakdirkan suami kahwin lagi, kecuali isteri reda bermadu.’ Itu nasihat sahabat Mekar Sejambak hasil pengalaman pahit yang mereka lalui. 

Oleh : MAIMUNAH YUSOF

————————-

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam