Azizulhasni Awang membanggakan Malaysia dengan pingat perak pada acara keirin Olimpik Tokyo./ Gambar FB MSN.

DI trek lumba basikal, Datuk Azizulhasni Awang adalah antara jaguh dunia dalam acara keirin dan pecut – mengatasi ramai pelumba ‘mat saleh’ berfizikal besar yang lebih sinonim dengan acara tersebut.

Namun, untuk berada di kedudukan berkenaan, pengorbanan yang Azizulhasni terpaksa lakukan bukan sedikit sepanjang kariernya.

Berjauhan dalam jangka masa lama dengan isteri dan anak-anak yang masih kecil bukan suatu perkara mudah, begitu juga tanggungjawabnya kepada ayah dan ibu yang semakin meniti usia.

Dan selepas berakhirnya acara final keirin Olimpik sebentar tadi, Azizulhasni tidak dapat lagi menahan linangan air mata mengenang cabaran yang terpaksa dilalui beliau dan anggota keluarganya.

Dalam nada sebak, pemenang perak Olimpik Tokyo itu mengakui kerinduan yang amat sangat kepada anak-anak dan isteri yang jauh di Melbourne, Australia.

Pada masa sama kata Azizulhasni, 33, ayahnya juga dimasukkan ke wad kerana strok sebelum beliau berangkat ke Jepun.

Sebab itu, ketika acara final sebentar tadi, beliau sentiasa mengingatkan wajah-wajah keluarganya sebagai sumber inspirasi.

“Saya teringat anak-anak, isteri. Saya tinggalkan mereka lama. Hari-hari anak saya telefon.

“Saya teringat mak dan ayah saya, saya tinggalkan kampung sejak tingkatan 3. Ini pun mak saya tinggal seorang, ayah saya dimasukkan ke hospital kena mild strok.

“Saya harap mereka tidak kecewa dengan keputusan saya hari ini. Saya sudah melakukan yang terbaik, untuk mereka, untuk rakyat Malaysia dan untuk sukan Malaysia,” kata pelumba yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocket Man.

Baca artikel berkaitan: Perak buat Malaysia, tahniah Datuk Azizulhasni

“Saya pun tak tahu apa dia cuba buat” komen Azizul dengan ‘taktikal’ pelik pelumba Australia

Menurut Azizulhasni, sebaik mengetahui ayahnya dimasukkan ke hospital, adik-beradiknya yang lain meminta beliau supaya kekal fokus kepada Olimpik demi Malaysia.

“Adik-beradik saya cakap, Azizul fokus Olimpik, jangan fikir ayah. Ayah saya kena mild strok, tetapi saya tiada pilihan.

“Saya kena fikir tanggungjawab pada negara. Cabaran kali ini bukan mudah buat saya,” kata jaguh basikal dunia kelahiran Terengganu itu yang meraih gangsa di Olimpik Rio 2016.

Malah kongsi Azizulhasni ketika temu bual bersama Astro Arena itu, anak-anaknya yang jauh di Melbourne juga hari-hari bertanya bila beliau dapat pulang bersama.

“Saya hanya kata sekejap saja lagi, dah nak habis kepada anak-anak.

“Memang masa kayuh tadi saya teringat mereka. Dalam fikiran sekarang memang nak balik jumpa anak-anak dan keluarga,” ujarnya dalam tangisan yang turut mendapat khabar gembira yang isterinya kini hamil anak ketiga.

Mengenai Olimpik Paris 2024, Azizulhasni berkata, dalam perancangan asal, memang beliau akan menyertainya namun semuanya perlu diteliti dan dibincangkan lanjut.

Pingat perak diraih Azizulhasni hari ni merupakan pingat kedua buat kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo selepas badminton menyumbang gangsa menerusi acara beregu lelaki.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram