SELEPAS beberapa hari bertarung nyawa akibat wabak Covid-19, penyanyi Siti Sarah Raisuddin disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur pada pukul 5.13 pagi tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan sendiri oleh suaminya, Shuib Sepahtu menerus Instagram miliknya.

“Bidadari syurga saya pergi buat selama-lamanya. Mohon sedekahkan Al-Fatihah,” katanya.

Dalam pada itu pihak pengurusan Allahyarham iaitu Indigital Music, melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan dan memberi sokongan ketika saat sukar itu.

BERITA BERKAITAN “Ampunkan isteri saya, halalkan makan & minumnya…” – Shuib yakin Siti Sarah kuat!

“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu,” ujarnya.

Penyanyi lagu Semakin itu dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu selepas oksigen dalam badannya berkurangan.

Lebih hiba lagi, Siri Sarah,37, menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat menatap wajah bayi lelakinya, Ayash Affan yang dilahirkan secara pembedahan ketika usia kandungan mencecah lapan bulan.

Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Selain Ayash Affan, mereka turut dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – UtusanTV