ENTAH siapalah punya kerja sebarkan WhatsApp pemenang emas acara keirin Olimpik semalam disiasat doping.

Gaya mesej itu untuk terus memberi harapan yang emas Olimpik pertama Malaysia belum terpadam kerana seoalah kemenangan Jason Kenny belum muktamad.

Ada juga di Malaysia yang ‘percaya’ – maklumlah ia membuka ruang kemungkinan Datuk Azizulhasni Awang diisytiharkan pemenang perlumbaan tersebut.

Maka tersebar jugalah mesej tersebut, namun Alhamdulillah tak lama kemudian ramai sedar dari lamunan bahawa ini semua satu lagi berita palsu.

Realitinya, International Testing Agency (ITA) yang mengendalikan ujian doping di Olimpik melakukan ujian doping ke atas semua pemenang pingat di temasya itu.

Pemenang pingat memang wajib diambil sampel air kencing mereka dan sudah tentu bukan sahaja Kenny tetapi Azizulhasni serta pemenang gangsa dari Belanda juga diuji.

Selain pemenang pingat, ITA juga melakukan ujian secara rawak ke atas atlet Olimpik dan juga ke atas mereka yang disyaki, sebelum, semasa dan selepas temasya.

Kerahsiaannya memang tinggi sehingga selesai ujian dan proses lain dengan pengumuman dilakukan penganjur.

Proses itu juga bukan seperti ujian urin polis yang boleh diketahui dalam sejam.

Jason Kenny memenangi emas Olimpik ketujuhnya sepanjang penyertaan dalam temasya berkenaan./ Gambar FB UCI.

Ada atlet yang gagal doping seperti atlet pecut wanita Nigeria dimaklumkan keputusan selepas kira-kira seminggu sampel urin atau darah diambil.

Sampel atlet itu diambil sebelum temasya lagi kerana ITA sudah ada sasaran awal berdasar maklumat mereka dan kontinjen basikal Great Britain bukanlah dalam senarai panas doping.

Yang panas, Kenny itu sendiri, tujuh emas Olimpik (individu dan berpasukan) sekaligus atlet paling berjaya dalam sejarah Olimpik negara itu.

Memang taktiknya luar biasa dan paling menarik perhatian dunia bagaimana Kenny mampu mengayuh pada ‘top speed’ untuk tiga pusingan.

Baca artikel berkaitan: “Saya pun tak tahu apa dia cuba buat” komen Azizul dengan ‘taktikal’ pelik pelumba Australia

Kerinduan pada keluarga, ayah pula di wad, air mata Azizulhasni tumpah di Olimpik Tokyo

Dan ketika ini ada ribuan sampel diambil untuk diuji di makmal ITA di bawah pengawasan Agensi Antidopping Dunia (WADA) dengan prosedur ketat.

Jadi lebih baik move on sahajalah dari cerita semalam. Kecewa memang ada tetapi lebih baik banyakkan rasa bangga dengan pencapaian hebat Azizulhasni di Velodrom Izu.

Kita cuba lagi di Paris pada 2024. Bak kata Datuk Jijoe, “tak semestinya kita akan dapat apa yang kita nak.”

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram