hukum bernazar dalam Islam

Setiap manusia mempunyai keinginan dan hajat. Ada yang berhajat untuk menjadi kaya, cemerlang dalam pelajaran, sihat tubuh badan dan pelbagi lagi keinginan.

Dalam mencapai hajat, setiap manusia mempunyai cara masing-masing dan salah satunya ialah dengan nazar. Nazar ini boleh ditunaikan seperti berpuasa, bersedekah dan lain-lain lagi. Namun jika nazar itu nazar maksiat, maka ianya tidak dianggap sebagai nazar, bahkan haram dilaksanakan.

Masalah utama yang sering dihadapi berkaitan nazar ialah sering berlaku kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat. Contohnya, seorang pelajar berkata, “Sekiranya aku berjaya mendapat 8A di dalam peperiksaan, aku bernazar untuk membotakkan kepala.” Membotakkan kepala atau perbuatan yang seumpama dengannya tidak dianggap sebagai nazar kerana ia tidak melibatkan perkara ibadah.

Begitu juga dengan nazar yang sememangnya sudah menjadi kewajipan sejak azali lagi seperti solat lima waktu dan menunaikan zakat. Dan juga perkara-perkara yang diharuskan syarak seperti makan, minum, tidur dan sebagainya.

Sebagaimana hadis riwayat Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas r.a.

“Adalah Nabi s.a.w. ketika berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang bangkit dan bertanya tentang dirinya. Maka mereka (para sahabat) bertanya : `Abu Israel telah bernazar untuk sentiasa bangun, tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan berpuasa’. Maka jawab Baginda, `Biarkan maka bercakaplah, berteduhlah, duduklah dan tunaikan puasanya’.”

Dilarang juga bernazar dalam perkara yang makruh seperti bernazar untuk meninggalkan sunat rawatib setiap kali selepas solat fardu. Ini adalah kerana bernazar untuk melakukan perkara makruh dan haram bukan termasuk dalam perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ibadat.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

“Bukan nazar dalam melakukan maksiat kepada Allah.”

Abu Daud juga ada meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Bukan nazar melainkan pada apa yang mengharapkan penerimaan Allah.”

Nazar ialah suatu perkara atau perbuatan yang pada asalnya tidak wajib menjadi wajib berlandaskan syariat yang telah ditetapkan. Niat utama seseorang bernazar mestilah dengan melakukan sesuatu perkara yang baik dan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ulama fiqah juga ada menyatakan bahawa nazar itu merupakan iltizam untuk mendekatkan diri dengan kewajipan yang tidak disyaratkan secara mutlak ataupun terikat dengan sesuatu.

Namun begitu, ada sesetengah ulama tidak menggalakkan perbuatan bernazar dan sebaiknya dihindari kerana ia menjadikan sesuatu perkara yang tidak wajib menjadi wajib. Tetapi sekiranya seseorang itu sudah bernazar, maka nazarnya itu wajib dilaksanakan dalam konteks berkaitan ibadah. Dan ianya menjadi harus apabila dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Rasulullah s.a.w.  bersabda, dari Aishah r.ha.

“Sesiapa yang bernazar untuk taat kepada Allah maka taatilah akan-Nya dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat kepada-Nya maka janganlah membuat maksiat kepada-Nya.” – HR Bukhari

Allah juga berfirman dalam surah al-Insan: 7,

“(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini.”

Pun begitu, Islam tidak menetapkan bilakah waktu yang sesuai untuk bernazar. Kebiasaannya ia bergantung kepada situasi seseorang seperti ketika berhadapan dengan musibah atau masalah. Tetapi sebaik-baiknya ialah dengan menyegerakan pelaksanaan nazar dan ketika hadirnya peluang yang mengizinkan.

Jenis Nazar

Jika seseorang ingin bernazar, perkara paling utama yang harus dilihat ialah adakah nazarnya itu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah ataupun tidak. Ianya tidak sah jika diniatkan di dalam hati, ini kerana nazar termasuk dalam akad, maka syaratnya mesti dilafazkan.

Seseorang itu juga harus mengetahui dengan apa dirinya mahu bernazar berdasarkan kemampuan. Maka syariat telah menetapkan nazar kepada tiga bahagian.

Pertama ialah nazar lajaj (keras kepala). Ia merupakan nazar yang berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan diri akibat terlalu marah. Nazar ini adalah makruh. Contohnya, seseorang berkata,

“Sekiranya aku bercakap dengan si fulan, demi Allah aku akan berpuasa selama sebulan.” Nazar ini bergantung kepada dua keadaan di mana orang yang berkata-kata itu seperti bersumpah tidak mahu bercakap, dan dalam keadaan yang lain ianya seperti nazar.

Maka dalam hal ini, orang yang bernazar itu boleh memilih sama ada untuk menebus sumpah atau menunaikan nazarnya. Dalilnya adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada ‘Uqbah bin ‘Amir daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud ,

“Kafarah nazar seperti kafarah sumpah.”

Kedua, nazar al-Mujazah (ganjaran).  Nazar ini menunjukkan seseorang itu bergantung pada sesuatu keadaan yang akan menyebabkan dia melakukan sesuatu. Contoh nazar ini ialah

“Sekiranya aku sembuh daripada penyakit covid 19 ini, demi Allah aku akan sedekahkan seekor lembu.”

Hukumnya jika dia sembuh dari penyakit tersebut, maka dia wajib melaksanakan nazar tersebut dan tidak boleh digantikan dengan perkara lain.

Seperti maksud hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Saidatina Aishah,

“Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka taatilah akan Nya.”

Ketiga, nazar mutlak. Ianya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah tanpa terikat kepada sesuatu perkara. Lazimnya ia diungkap sebagai tanda bersyukur kepada Allah disebabkan sesuatu nikmat yang ia peroleh atau tanpa sebab. Contohnya “aku bernazar untuk malakukan ibadah puasa”.

Sesiapa yang bernazar mutlak tidak boleh menukar nazarnya itu dengan kafarah sumpah kerana makna sumpah telah ternafi dengan nazar jenis ini.

Sebagaimana firman Allah yang telah dinyatakan dalam surah al-Hajj: 29

“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

__________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram