Salam maal hijrah 1443

Alhamdulillah, sebentar lagi kita akan masuk awal Muharam tahun baru 1443 hijrah iaitu mengikut sistem kalendar Islam. Ia ditetapkan berdasarkan kepada cerapan penampakan hilal di langit iaitu bulan sabit tertipis yang berkedudukan rendah di atas cakerawala langit barat dan sudah diamati tepat selepas terbenamnya matahari.

Imam Syaukani menyatakan hilal merupakan nama bagi bulan yang akan muncul setiap awal atau akhir bulan.

Hilal juga menjadi penentu bagi awal bulan kalendar hijriyah kerana sifatnya. Menurut al-Biruni, kalendar hijriyah bermula pada 16 Julai tahun 622 Masihi. Sistem kalendar ini bermula pada zaman Saidina Umar al-Khattab. Nama hijriyah atau hijri diambil sempena peristiwa penghijrahan Baginda s.a.w. dari Mekah ke Madinah.

Kalendar hijriyah asalnya adalah rantaian dari kalendar zaman Arab jahiliyyah. Rasulullah s.a.w. mengambilnya dengan memperkenalkan permulaan bulan Muharam yang diambil dari kalendar lama masyarakat Arab jahiliyyah namun penggunaannya tidaklah mengikut sistem sepertimana yang diguna sekarang kerana Baginda s.a.w. lebih merujuk kepada tahun-tahun yang berlaku sesuatu peristiwa.

Contohnya tahun pertama hijrah dinamakan tahun al-I’dhn bi al-Hijrah. Tahun kedua digelar al-Amr bi al-Qital, tahun ketiga disebut tahun al-Tamhis, tahun keempat dinamakan al-Tarfiyah hinggalah ke tahun ke sepuluh dengan gelar nama yang pelbagai.

Selepas kewafatan Baginda s.a.w. dan saidina Abu Bakar al-Siddiq, kemudian saidina Umar al-Khattab r.a. telah dilantik menjadi khalifah, ia membuka lembaran baru bagi kalendar Islam. Saidina Umar telah meletakkan asas penetapan tarikh kalendar hijriyah pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun ke 17 hijrah Baginda s.a.w.

Penentuan itu dilakukan selepas Umar al-Khattab mengutuskan surat kepada Gabenor Basrah iaitu Abu Musa al-Asya’ri dan menyebut dalam surat tersebut bulan Syaaban. Akan tetapi Abu Musa al-Asya’ri berasa ragu lalu beliau membalas surat tersebut dengan bertanyakan kepada saidina Umar dengan katanya,

Sesungguhnya telah datang kepada kami satu surat dari Amir al-Mukminin. Kami telah membacanya bertarikhkan Syaaban Namun kami tidak pasti adakah ianya Syaaban yang kami berada sekarang atau Syaaban pada tahun lepas.

Setelah membaca balasan surat tersebut maka saidina Umar merasakan perlunya untuk meletakkan asas penentuan kalendar hijrah yang tepat bukan bersandarkan peristiwa. Lalu Umar al-Khattab pun menghimpunkan ramai sahabat untuk mendapatkan pandangan mereka yang paling baik dalam penentuan tersebut.

Sebahagian sahabat ada yang mencadangkan agar menggunakan tarikh kelahiran Baginda s.a.w dan sebahagian yang lain mencadangkan pula tarikh Rasulullah s.a.w. diutus menjadi rasul. Namun ada juga sebahagian sahabat yang berpandangan agar dimulakan dengan tarikh bermulanya hijrah Baginda s.a.w.

Cadangan itu berpaksikan kepada tarikh tersebut kerana ia sangat terkenal dan tidak ada perselisihan dalam kalangan sahabat. Justeru Umar al-Khattab pun berkata,

Hijrah telah memisahkan yang hak dengan yang batil, maka kita mulakan dengannya. Manakala Muharam menyuraikan sekalian manusia dari haji mereka”

Kesemua sahabat lalu bersepakat dan mereka memulakan awal bulan dengan bulan Muharam dan memulakan permulaan tahun dengan hijrah Rasulullah dari kota Mekah ke kota Madinah. Dan kerana itulah dinamakan kalendar hijrah Rasulullah s.a.w. sehingga kini telah 1443 tahun berlakunya hijrah Baginda s.a.w. Wallahu a’lam

__________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram