PEMENANG pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang selamat tiba ke tanah air bersama kumpulan terakhir kontinjen negara pada petang ini, diberikan sambutan sederhana dengan mematuhi penjarakan fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau bersama rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan ratu terjun Pandelela Rinong, pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH071 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun.

Meskipun terlepas pingat emas yang diidamkan kepada juara bertahan Jason Kenny dari Great Britain, Mohd Azizulhasni, yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu, beraksi cemerlang untuk meraih perak acara keirin lelaki di Velodrom Izu semalam.

Turut tiba bersama mereka ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pasukan sokongan Institut Sukan Negara dan ahli sekretariat.

Kesemua 28 individu yang tiba hari ini akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah hotel.

Mereka yang tiba pada jam 5.20 petang disambut oleh Timbalan Menteri Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli.

Kontinjen Malaysia diwakili 30 orang atlet bagi Sukan Olimpik kali ini yang berlangsung dengan kekangan pandemik COVID-19, bermula 23 Julai hingga 8 Ogos lepas.- BERNAMA