“SAYA rasa dunia saya sepi”. Demikian luahan bapa lepada Allahyarham Siti Sarah iaitu Raissuddin Hamzah apabila diminta berkongsi tentang perasaan kehilangan satu-satunya anak perempuannya.

Menurut Raissuddin,65, dia menganggap pemergian Siti Sarah yang juga isteri kepada pelawak Shuib itu sebagai satu ketentuan Illahi.

“Saat Shuib datang dan melutut dihadapan saya sambil memberitahu Sarah sudah tiada, saya tidak tahu nak berkata apa.

“Sebenarnya apa yang berlaku adalah satu ketentuan yang sudah ditetapkan Allah.

“Saya harap semua terus mendoakan arwah dan moga dia tenang di sana. Kita hanya dapat kenang sebab dia tidak akan kembali,” katanya.

Raissuddin yang juga penyanyi dan pelakon era 80-an ditemui ketika majlis bacaan tahlil dan doa selamat buat arwah Siti Sarah yang diadakan secara maya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Raissuddin turut berkongsi keperibadian anaknya yang disifatkan sebagai seorang yang taat kepada orang tua.

“Dia seorang anak yang sangat baik.Tidak pernah membantah dan melawan cakap saya.

“Arwah juga seorang yang manja dengan saya. Banyak kenangan manis kami bersama sepanjang 37 tahun hidupnya.

“Sehari sebelum dia pergi ke hospital, kami berpegangan tangan tetapi tidak berkata apa-apa,” ujarnya.

 Sarah disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) HCTM pukul 5.13 pagi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Allahyarham bersama Shuib dan tiga anak mereka termasuk pembantu rumah sebelum ini disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu dan menjalani kuarantin diri di rumah.

Namun, Siti Sarah yang sarat hamil tujuh bulan mengalami masalah pernafasan dan dikejarkan ke HCTM pada 4 Ogos lalu sebelum menjalani pembedahan mengeluarkan bayi pada 6 Ogos.

Allahyarham melahirkan anak keempatnya yang diberi nama Ayyash Affan.Namun arwah tidak sempat menatap wajah anak bongsunya itu.