orang koma boleh mendengar
170 daripada 250 kematian itu berlaku di Dengkil. GAMBAR HIASAN

Kisah-kisah pesakit covid yang ditidurkan dan berada dalam keadaan koma telah menimbulkan pertanyaan dalam diri dan mungkin sukar dijawab oleh para doktor perubatan. Cerita-cerita tentang pesakit koma mengembara ke alam lain, mungkin tiada bukti saintifik yang mampu untuk mengesahkannya.

Sebaliknya, kebanyakan pakar perubatan menyifatkan, peristiwa yang berlaku dan diceritakan semula oleh pesakit mungkin diakibatkan oleh halusinasi. Dan kerana itu, setiap cerita berkenaan, sukar untuk ditentukan sama ada benar atau sebaliknya. 

Mencari jawapan pada persoalan tersebut, Al Islam menemui Dr. Ainul Syahrilfazli Jaafar, Pakar Bedah Neurosurgeri, merangkap Pensyarah Kanan Unit Neurosurgeri, Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Sejurus persoalan tentang koma dan pengembaraan pesakit koma ke alam lain diajukan kepadanya, ternyata di awal temu ramah, sukar baginya untuk mengesahkan setiap ‘pengalaman’ yang dilalui oleh pesakit koma. 

Namun tidak pula menolak, secara peribadi, peristiwa itu mungkin boleh berlaku dengan izin Allah. Apa pun katanya, dalam perubatan, ia mungkin berlaku hasil dari proses halusinasi. Selebihnya? Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. 

Justeru, Dr. Ainul menyifatkan, setiap pengalaman pesakit ada kemungkinan benar dan ada kemungkinan tidak. Benarnya dari sudut, jika dalam keadaan tidur pun, Islam mengkategorikan seseorang itu berada di alam mati kecil, maknanya, apa bezanya dengan orang yang sedang koma? Bagaimana ia berlaku itu urusan Allah. 

Namun berbalik pada persoalan kondisi orang yang koma Dr. Ainul mengelaskan, koma itu sendiri perlu difahami secara jelas terlebih dahulu. Katanya, koma berlaku apabila fungsi korteks sereberum dalam otak terganggu atau tidak mampu berfungsi dengan baik. 

Dan untuk menilai seseorang itu koma, tiga perkara diambil kira iaitu menguji tahap pergerakan anggota, tahap pertuturan serta keupayaan pesakit untuk membuka mata.  Jelas Dr. Ainul, ketiga-tiga keadaan ini akan diukur melalui skala koma Glasgow.

Skala tersebut mempunyai skor yang bermula dari 3 hingga 15. Mana-mana skor dari 8 ke bawah kita anggap dia koma. Skala koma Glasgow ini juga menentukan sama ada pesakit tersebut berada di peringkat mana, sama ada koma ringan, sederhana mahupun teruk.  

3 Peringkat dan definisi koma

Apa pun koma adalah istilah umum. Secara dasarnya, koma dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu peringkat jaga, keadaan tidak bertenaga, stupor (tidak boleh berfikir dan mendengar) serta koma,” ujarnya. 

Ditanya apakah mungkin pesakit koma boleh berinteraksi dengan keadaan sekeliling, Dr. Ainul menjelaskan, ia bergantung pada keadaan pesakit bertindak balas dengan persekitarannya. Dan untuk memastikannya, pesakit akan diuji dengan beberapa ujian. 

Antaranya, ujian kesakitan dan di situ doktor akan melihat sama ada pesakit memberikan rangsangan atau tidak. 

Pelbagai definisi dan peringkat kategori koma

Menurut Dr. Ainul, koma mempunyai banyak definisi. Tahap pertama ia dikenali sebagai cloudy atau kabur. Seseorang yang berada pada tahap ini, respons yang diberikan amat perlahan. Contohnya bila ditanya namanya, maka dia memerlukan masa yang lama atau perlahan untuk memberikan jawapan. 

Manakala tahap kedua dikenali sebagai lethargy atau dipanggil sebagai letih mahupun lesu.  Letih bermaksud, seseorang itu mempunyai tahap kesedaran yang rendah. Digambarkan pada tahap ini, pesakit itu sedar dan boleh menjawab tetapi tahap ‘kepandaiannya’ agak lewat sedikit. Ibaratnya, sama ada pesakit itu boleh menjawab secara sewajarnya atau tidak, sukar untuk dikenal pasti.  

Selepas dari tahap itu, pesakit dikategorikan sebagai kelihatan tidur tetapi sebenarnya, pesakit telah pun mengalami keadaan tidak sedarkan diri yang jauh dari tidur. Peringkat ini dinamakan sebagai obtundation. Pada tahap ini kognitif pesakit semakin berkurangan.

Manakala peringkat seterusnya dikenali sebagai stupor. Di peringkat ini pesakit dikatakan hampir dengan koma sepenuhnya. Namun di peringkat ini, apabila pesakit diberikan rangsangan kesakitan, tangannya masih mempunyai tindak balas seakan-akan mahu menepis kesakitan yang diberikan. 

Apa pun jelas Dr. Ainul, terdapat satu lagi peringkat koma yang dikenali sebagai persistent vegatative state (PVS). Pada tahap ini, pesakit tidak mampu memberikan respons tetapi matanya telah mula terbuka dan bernafas sendiri. Di peringkat ini, pesakit boleh membuang air besar dan kecil sendiri tetapi tidak boleh mengawalnya.

Manakala matanya boleh bergerak ke kiri dan kanan tetapi apabila diarahkan ke satu arah, matanya tidak mampu mengikut arah yang ditunjukkan.

Pada tahap ini agak sukar untuk kita kenal pasti apakah pesakit koma atau tidak. Ini kerana pada tahap ini sukar untuk ditentukan sama ada pesakit boleh menerima maklumat yang diberikan atau tidak serta apakah pesakit mampu memproses maklumat yang diberikan kepadanya atau tidak.  

Dengan kata lain, pesakit berada dalam keadaan jaga, tetapi tidak memberi tindak balas.

Dan satu lagi tahap selepas itu pula dikenali sebagai Minimally Conscious State (MCS). Pada tahap ini, matanya juga terbuka dan mengerdip. Tetapi lebih baik dari tahap persistent vegetative, pesakit boleh mengikut arah yang ditunjukkan.

Pun begitu, hanya melibatkan beberapa darjah yang boleh dikawal bergantung pada tahap kecederaan otak yang dialami. Ibaratnya, jika diletakkan cawan di sebelahnya, seolah-olah dia cuba mengambil cawan tersebut.

Ada pesakit yang koma boleh memberi respon dan ada yang tidak, hanya mampu mengalirkan air mata

Sementara tahap kritikal dinamakan sebagai lock in syndrome. Pada tahap ini pesakit pada asasnya telah pun dianggap lumpuh. Dia sedar tapi tak boleh memberi tindak balas. Misalnya boleh mendengar dan faham orang bercakap tapi tidak boleh respon. Pesakit yang berada pada tahap ini, selalunya akan memberikan respon apabila kita melihat ada air mata yang keluar dari matanya. 

Orang yang lock in syndrome, kadang-kala kita kena tunggu sama ada tangan dia bergerak atau ada respon pada mata. Selalunya matanya akan terbuka. Cuma tangan kaki sahaja tidak boleh bergerak. Mulut pun tidak boleh kumat-kamit. Kalau orang tidak perasan, dia sebenarnya memberi respon apabila ada air mata yang meleleh. Ini disebabkan spinning code nya tercedera.

Wujudkah pengembaraan ketika koma?

“Bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekiranya roh seseorang itu keluar dari badan kerana apabila tidur ia juga dianggap begitu,” ujar Dr.  Ainul. Baginya, ia sesuatu yang boleh terjadi. 

Tapi bolehkah seseorang itu boleh nampak rohnya?  

“Sukar untuk saya jelaskan, tetapi bila keadaan otak seseorang tercedera, ada banyak signal dalam otak yang boleh mengakibatkan berlakunya halusinasi sama ada dari sudut pendengaran mahupun penglihatan. Seperti orang yang mengambil dadah berlebihan, halusinasi akan berlaku,”. 

Ujarnya lagi, otak antara organ yang paling sensitif dan penting dalam kejadian manusia. Dan kerana itu apabila oksigen tidak sampai ke otak, maka akan berlakulah hipoksemia (keadaan kepekatan oksigen yang terlalu rendah dalam darah). Ringkasnya, selagi jantung berdenyut dan masih ada nafas, seseorang itu tidak akan diisytiharkan mati.

Begitu juga dalam keadaan apabila seseorang mengalami mati otak. Pesakit yang mati otak, selalunya jantung akan berdenyut tetapi mereka akan dibantu dari segi sistem pernafasan.  Ini kerana, pesakit tidak mampu untuk bernafas sendiri. 

Bagi pesakit yang mengalami mati otak, banyak perbahasan timbul sama ada mereka benar-benar sudah mati atau tidak.

Cuma persoalannya, berapa lama pesakit harus diberikan mesin pernafasan? Inilah yang menimbulkan banyak perbahasan sama ada dari segi agama, undang-undang mahupun perubatan.  Isu yang ditimbulkan, apakah pesakit tersebut sudah benar-benar mati?

Apa pun menurut Dr. Ainul, bagi pesakit yang mati otak, kebiasaannya tidak akan menunjukkan apa-apa reaksi atau respons sekalipun rangsangan kesakitan diberikan. Bahkan tidak berlaku pernafasan secara spontan sebaliknya memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Begitu juga apabila disuluh dengan cahaya lampu, pupil matanya tidak mengecil dan tiada refleksi kornea. Dengan kata lain, pesakit tidak memberikan respon kerlipan mata apabila permukaan kornea disentuh. Satu lagi ujian yang diberikan bagi mengesahkan pesakit mengalami mati otak ialah dengan memasukkan kateter ke dalam mulut pesakit merentasi   larinks dan trakea. 

Andai pesakit batuk, ia menunjukkan tidak berlaku mati otak.  Berbeza sebaliknya, pesakit yang mati otak selalunya tidak akan batuk. Begitulah keadaan pesakit yang koma dan mati otak. Justeru bagi menjawab persoalan sama ada mereka ada melakukan pengembaraan atau tidak sebagaimana yang mungkin pernah dialami oleh beberapa pesakit, boleh jadi benar dan boleh jadi halusinasi. Apa pun semua itu tidak ada yang mustahil jika Allah berkehendak sebagaimana yang difirmankan dalam surah Yasin: 82,

“Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah! Maka jadilah sesuatu itu.” Wallahu a’lam

_____________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram