Bangunan Parlimen Malaysia GAMBAR: Abd Razak Aid

SAMPAI bila ahli-ahli politik akan menyedari yang tindakan mereka semakin hari semakin membahayakan nyawa rakyat?

Dari awalnya mendesak pembukaan Parlimen, menggalakkan anak-anak muda berkumpul di jalanan dan juga mereka sendiri berarak – sememangnya tindakan yang diketahui boleh merebakkan virus COVID-19 yang sedang mengganas.

Selepas didesak dengan hebatnya atas pelbagai alasan, akhirnya tindakan ahli-ahli politik ‘memaksa’ pembukaan Parlimen telah memakan korban insan yang tidak ‘berdosa.’

Selain daripada 85 orang disahkan positif dari ‘kluster Parlimen’, seorang pegawai kementerian dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19 yang dipercayai dijangkitinya ketika bertugas di Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen baru-baru ini.

Pegawai tersebut menghadiri sidang khas yang bermula 26 Julai lepas dan kali terakhir berada di Parlimen pada 29 Julai mulai menunjukkan simptom pada 30 Julai, lapor portal MalaysiaNow.

Menurut sumber, pegawai tersebut berada di Parlimen dan juga pejabat kementerian di Putrajaya sepanjang tempoh tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mengenai kematian mangsa yang merupakan seorang pegawai khas kepada seorang Timbalan Menteri di kementerian yang tidak dapat didedahkan.

“Hari terakhir arwah di Parlimen pada 29 Julai. Pada 30 Julai (arwah) mula ada selesema,” kata sumber di kementerian.

BERITA BERKAITAN COVID: 88 kes dikesan libat mesyuarat khas Parlimen, penambahan tiga kes baharu

Sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung selama lima hari terpaksa ditangguhkan pada 29 Julai lalu, selepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan premis Parlimen dikuarantin dan ahli-ahli dan kakitangan Parlimen disaring Covid-19 selepas beberapa kes positif disahkan daripada ujian saringan sebelumnya.

Noor Hisham berkata keputusan ujian tersebut dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.

6 Ogos lalu, Noor Hisham berkata 85 kes positif Covid-19 berkaitan dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang diadakan pada 26 hingga 29 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 17 kes dikesan berkaitan persidangan Dewan Rakyat, manakala 56 kes daripadanya dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat.

Kerajaan bersetuju mengadakan semula sidang Dewan Rakyat susulan gesaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Bagaimanapun sidang khas yang diadakan bagi membahaskan langkah-langkah kerajaan berdepan pandemik Covid-19 bertukar menjadi tempat mendesak kerajaan ditukar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional yang memihak kepadanya berkomplot bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang khas tersebut untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, Muhyiddin berjanji untuk membenarkan pembentangan usul undi percaya ketika persidangan Dewan Rakyat diadakan semula pada September depan.