MANGSA serangan seksual berhadapan dengan tekanan perasaan atau distres rohani daripada perbuatan pemangsa bertopengkan agama dengan mengeksploitasi emosi dan fizikal mangsa yang memerlukan bantuan mereka.

Pakar Psikiatri, Pensyarah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan, Dr. Ahmad Nabil Md. Rosli berkata, perbuatan spiritual abuse (penderaan rohani) dilakukan pemangsa bertopengkan agama itu telah mengakibatkan mangsa terkesan dari segi fizikal, psikologikal dan kerohanian.

Kata beliau, mangsa juga berada dalam kekeliruan dan kekusutan kerana pada asalnya memerlukan bimbingan kerohanian daripada pembimbing yang akhirnya menjadi pemangsa seksual.

Menurut Ahmad Nabil, keadaan mangsa juga akan mengalami gejala distres yang melibatkan soal kerohanian seperti hilang harapan, marah kepada tuhan dan komuniti agama.

Secara umum, Ahmad Nabil berkata, mangsa yang hadir memerlukan bantuan tidak bercakap secara terus terang tetapi mempunyai pelbagai masalah emosi mahu pun fizikal.

“Namun begitu, setelah diselidik barulah keluar cerita sebenar. Ada di antara mereka hanya akan bercakap tentang perkara ini setelah bertahun-tahun keluar daripada belenggu si pemangsa.

Baca artikel berkaitan: Jangan terpedaya imej ‘bersih’ penunggang agama – Firdaus Wong

“Kebergantungan kepada pemangsa serta takut diapa-apakan dan juga stigma untuk mendapatkan bantuan merupakan antara alasan mengapa mereka mungkin lambat mendapatkan pertolongan.

“Anggota masyarakat yang tahu tentang perkara ini seharusnya membantu mangsa keluar daripada kepompong ini bagi mendapatkan perlindungan, rawatan dan tindakan susulan daripada pihak berwajib,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Nabil menjelaskan pemangsa seksual selalunya akan mempamerkan diri sebagai seorang yang berstatus baik dalam komuniti, berkarisma, bertanggungjawab dan dipercayai.

Katanya, ada dalam kalangan pemangsa juga memiliki ciri-ciri personaliti narsisistik dan anti sosial.

Beliau berkata, mangsa pula terdiri daripada mereka yang berada dalam golongan rentan yang mungkin memerlukan sokongan seseorang.

“Antara faktor risiko yang memudahkan pemangsa mengeksploit mangsa adalah kurang keyakinan diri, ketidakupayaan fizikal atau mental dan masalah kewangan.

“Pada peringkat awal, pemangsa akan membina imej untuk membentuk kepercayaan dalam diri mangsa sebelum perlahan-lahan mengeluarkan mangsa daripada persekitaran asal supaya lebih mudah buat pemangsa untuk mengawal atau ‘membentuk’ mangsa demi kepuasan nafsu pemangsa,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram