PADA hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 23 September 622 Masihi, Rasulullah s.a.w. bersama rombongan memasuki sebuah perkampungan bernama Quba yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kota Madinah.

Unta baginda yang dalam perjalanan hijrah dari Mekah tiba-tiba melutut berhampiran sepohon kurma lalu disambut seorang sahabat bernama Khithum bin al-Hadm. Baginda dibawa ke rumah sahabat tersebut diikuti Amru bin Auf.

Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: “Sesiapa yang membina masjid Allah walaupun sebesar sarang burung nescaya Allah akan membina untuknya sebuah rumah di syurga.”

Setelah itu Rasulullah meletakkan seketul batu sebagai tanda arah kiblat. Perbuatan baginda itu ditiru Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar yang turut mengambil seketul batu dan meletakkan di atas batu Rasulullah.

Ilustrasi gambaran perjalanan hijrah Rasulullah dan para sahabat menuju ke Yathrib (Madinah).

“Inilah arah kiblat dan sujudlah mengikut arah batu itu,” beritahu baginda.

Rasulullah lalu memikul batu-batu kerikil sehingga tubuh terbongkok-bongkok. Peluh membasahi tubuhnya. Para sahabat yang melihat meminta kebenaran hendak mengambil batu-batu yang diusung itu tetapi Rasulullah menyuruh mereka mengambil batu-batu kerikil yang lain. Baginda terus memikulnya sehingga ke arah batu penanda arah kiblat. 

Seorang wanita, Asy-Syimu binti an-Numan yang melihat kegigihan Rasulullah itu berasa kagum yang amat sangat. Dia tidak menyangka baginda sanggup memikul bebanan di belakang sehingga tubuh disaluti debu-debu dan pasir.

Setelah itu baginda mencari sendiri tiang untuk dijadikan mimbar masjid. Ketika itulah baginda terdengar satu suara tangisan. Baginda lalu menoleh ke sana ke mari.

Suara siapakah gerangan itu? Rupa-rupanya tangisan itu datangnya dari sepohon kurma tunggal yang terletak berdekatan.

“Ambillah aku! Ambillah! Aku sanggup mengabdi demi Rasulullah!” beritahu pohon kurma itu. Baginda tersenyum melihat pohon kurma itu.

Apabila baginda menyentuhnya, pokok kurma tersebut berkata lagi: “Bertuahnya aku kerana tubuh aku disentuh tangan yang mulia di sisi Allah. Ambillah aku. Aku ingin berkhidmat dengan Rasulullah,” bisik pohon kurma itu. Sejak itu pohon kurma tersebut berhenti menangis.

Rasulullah memerintahkan pokok kurma itu ditebang. Batangnya dijadikan tiang mimbar manakala pelepah dan dedaun dijadikan sebagai bumbung serta atap.

Sebaik batang kurma itu dipacakkan, pohon itu sekali lagi berkata kepada baginda: “Akulah pohon paling beruntung dapat berkhidmat dengan Rasulullah. Sandarkanlah tubuhmu padaku. Aku akan tenangkan dan segarkan tubuh Rasulullah.”

Gambar lama Masjid Quba.

Pada tiang mimbar itulah baginda kerap bersandar menghilangkan penat setelah bekerja keras membina masjid tersebut. Mengabdilah pohon kurma itu selama-lamanya di masjid tersebut.

Setelah baginda dan para sahabat bertungkus-lumus akhirnya siaplah masjid berbentuk empat persegi. Baginda mengambil wuduk dari sebuah telaga bernama Quba yang berada di tepi masjid.

Setelah itu Rasulullah mengimamkan solat berjemaah secara terbuka bersama para sahabat berkiblatkan Masjid al-Aqsa. Itulah solat pertama yang baginda lakukan dalam masjid tersebut yang telah pun siap binaan asasnya.

Selepas itu baginda bersandar pada pohon kurma tadi sambil bersabda: “Sesiapa bersembahyang di masjid ini pahalanya sama seperti mengerjakan umrah.”

Mungkin elok kalau masjid itu diberikan suatu nama. Tapi apa nama yang sesuai? Dua lelaki bertelagah tentang nama masjid yang baru dibina itu. Lelaki dari Bani Khudra mahu masjid itu dinamakan sebagai Masjid Rasulullah. Seorang lagi dari Bani Amru bin Auf bertegas mengatakan masjid itu sesuai dinamakan Masjid Quba.   

Kedua-duanya bertegang urat, tidak mahu mengaku kalah dengan pendirian masing-masing. Lalu dua sahabat itu bertemu baginda untuk mendapatkan pengesahan nama sebenarnya.

Rasulullah bersabda: “Ia adalah masjid ini…” tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Dalam masjid itulah Rasulullah merancang bagaimana hendak mendirikan sebuah negara Islam di Madinah. Para sahabat ikut memberikan pandangan. Ya, kekuatan perlu dibina dari segi ekonomi dan politik supaya daulah Islamiah itu menjadi kenyataan. Dari situ barulah Islam dapat dikembangkan ke seluruh tanah Arab dan seterusnya kepada seluruh umat manusia.

Di Madinah ada orang Yahudi. Pelbagai kaum dan keturunan hidup bersama. Mereka pula orang Ansar, penghijrah yang baru saja menapak di situ. Bagaimana mahu menyatukan semua suku, keturunan dan kaum ini?

Di dalam masjid inilah juga baginda dan para sahabat berbincang tentang hal tersebut sambil batang kurma tadi menjadi saksinya. Bila penat, baginda bersandar pada pohon tersebut buat menghilangkan lelah.       

Rasulullah dan para sahabat tidak mahu kaum Quraisy di Mekah terus hidup dengan budaya jahiliah. Ahli keluarga dan jiran mereka itu perlu dibawa keluar daripada kesesatan. Lantas baginda mengajak para sahabat mencari jalan bagaimana penduduk Mekah itu dapat diterangi hati mereka dengan Islam. Dalam masjid bertiangkan batang pokok kurma itu mereka berbincang tanpa jemu.

Masjid Quba suatu ketika dahulu. Di sinilah dahulu tempat Rasulullah dan para sahabat merencana pembentukan kerajaan Islam yang berteraskan ketaqwaan serta iman kepada Allah S.W.T.

Selepas membina Masjid Quba, banyaklah masjid  lain dibina sekitar Madinah sehingga mencapai jumlah sembilan buah pada waktu itu, termasuklah Masjid Nabawi.

Semasa Rasulullah wafat, pohon kurma yang menjadi tempat mimbar dan baginda bersandar, sekali lagi menangis. Sahabat-sahabat baginda bertanya: “Wahai pohon kurma, mengapa menangis?”

Pohon kurma itu berkata: “Ketahuilah bahawa aku menangis kerana mulai saat ini aku tidak lagi dapat merasai kehangatan tubuh Rasulullah bersandar pada tubuhku. Kerana Rasulullah aku mengabdi di sini!”

Selepas kewafatan Nabi, masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam itu  dinamakan Masjid Quba bersempena nama telaga tempat Rasulullah berwuduk yang terletak di sisi masjid berkenaan.

FAKTA RINGKAS MASJID QUBA

Merupakan masjid pertama yang didirikan oleh umat Islam. Pembinaannya diasaskan oleh Rasulullah ketika baginda tiba di perkampungan Quba sewaktu dalam perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah.

Baginda tinggal di sana empat hari bersama Bani Amru bin Auf di rumah Kalthum bin Al-Hadm. Pada hari pertama itulah baginda terus membina Masjid Quba. 

Rumah Saiyidina Ali bin ZAbi Talib terletak di belakang masjid ini dan Rasulullah akan solat sunat di masjid ini sementara menunggu ketibaan menantu baginda itu.

Masjid Quba yang ada sekarang ini siap dibina oleh kerajaaan Arab Saudi pada 1986. Ia terletak kira-kira lima kilometer dari selatan kota Madinah.

Masjid Quba sekarang yang dikelilingi oleh pohon tamar. Jangan lupa kisah ini.

Masjid Quba disebut di dalam Al-Quran sebagai masjid yang dibangunkan di atas dasar taqwa. “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” – Surah at-Taubah : 108

Keistimewaan Masjid Quba pernah dinyatakan Rasulullah dalam sabda Baginda: “Barang siapa berwuduk di rumahnya (tempat tinggalnya), kemudian dia berkunjung ke Masjid Quba, lalu mengerjakan solat, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan umrah”.

Salam Maal Hijrah 1443 kepada semua pelayar UtusanTV dan majalah Mastika.

——————————————————————–

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam