BEBERAPA hantaran video yang dimuat naik menerusi Instastory milik Shuib nyata meruntun ramai yang melihatnya.

Anak kedua Shuib bersama Allahyarham Siti Sarah iaitu Dzahira Talita Zahra,8, meluahkan rasa Rindu terhadap ibunya yang pergi menghadap Ilahi semalam.

“Memang dia (ibu) ada kat rumah ini tapi kita tak nampak. Tapi Talita rindu dia,” ujar anak perempuan tunggal dalam esak tangis.

Shuib atau Shahmira Muhamad,37, dilihat memujuk anak-anaknya agar tidak terus menangisi pemergian ibu mereka yang disahkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Dalam hantaran yang sama, Shuib turut menitipkan kata-kata semangat selain berjanji akan mendidik mereka menjadi anak yang hebat.

“Jangan sedih-sedih. Daddy ada. Selagi daddy hidup, daddy akan pastikan anak-anak daddy ini menjadi anak hebat. Anak yang soleh, solehah,” luahnya.

Ujar Shuib dalam video terbabit, wajah anak sulungnya, Uwais Alqarni,10, mempunyai iras wajah arwah isterinya.

“Macam muka ibu. Daddy kalau rindu ibu, tengok Uwais,” kata Shuib kepada anak sulungnya yang sedang menangis merindui ibunya.

Terdahulu, Sarah melahirkan cahaya mata keempatnya menerusi pembedahan pada 6 Ogos lalu yang diberi nama Ayash Affan.

Sarah disahkan meninggal dunia pada jam 5.13 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM.