zahid

SEMALAM Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap sudah tidak sabar lagi menanti sidang Dewan Rakyat pada September mengesahkan menghantar dua warkah kepada Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu penarikan sokongan kepada Perdana Menteri, bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos 2021.

Dalam warkah tersebut, Ahmad Zahid juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyertakan 14 nama ahli Parlimen daripada BN berserta surat akuan mereka.

Semalam juga kesemua 105 ahli Parlimen daripada Pejuang, DAP, PKR, Warisan, Parti Sarawak Bersatu, MUDA, Amanah dan Maslee Malik (Bebas) menghantar surat kepada Seri Paduka, maka mengikut dakwaan mereka ia bermakna jumlah ahli Parlimen tidak sokong Perdana Menteri sudah mencecah kepada 118 orang.

Berdasarkan perkembangan itu rasanya Ahmad Zahid sudah mendapat ‘kekuatan’ untuk bersikap telus dan terbuka untuk mendedahkan dengan siapakah UMNO akan bersekutu bagi menubuhkan kerajaan jika misi beliau menumbangkan Muhyiddin di Parlimen melalui undi percaya berhasil dan siapakah calon Perdana Menteri idaman beliau.

Ahmad Zahid tidak boleh berselindung di sebalik strategi kerana ia bukan soal hala tuju politik beliau secara peribadi tetapi ia melibatkan perjuangan sebuah parti induk orang Melayu. Kenapa takut untuk berterus-terang dengan siapa UMNO atau BN yang mempunyai 42 ahli Parlimen mahu bergabung dan siapa bakal menjadi Perdana Menteri mereka?

Ahli-ahli UMNO ‘blur’ mereka tidak tahu  arah tuju parti. Ada macam-macam pemimpin dalam parti tu…ada yang jadi ‘batu api’, ada yang dok khayal pasal ‘kerajaan interim’ tak habis-habis dan ada yang cadang ‘kerajaan peperangan’ – pening ahli-ahli UMNO.

Sebagai seorang Presiden parti, Ahmad Zahid perlu ada keberanian berhadapan dengan apa juga reaksi pemimpin atau ahli UMNO terhadap hala tuju parti itu seterusnya jika berjaya menyingkirkan Muhyiddin dan menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Apakah beliau mahu mengamalkan sikap ‘tak apa jatuhkan dulu Muhyiddin, lepas tu kita fikir apa nak buat’ – kalau itulah yang ada dalam fikiran Ahli Parlimen Bagan Datuk – ia sekaligus membuktikan beliau tidak layak memimpin UMNO.

UMNO bukanlah parti picisan tetapi sebuah parti yang cukup besar. UMNO harus mempunyai hala tuju yang jelas, bukan boleh dilayan ibarat bangun pagi baru fikir nak sarapan apa!

Kalau Ahmad Zahid berhasrat membawa UMNO bergabung dengan parti ‘cikgunya’, silakan sahaja…tetapi pastikan ia mendapat restu daripada seluruh pemimpin dan ahli UMNO. Tindakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan PN sudah cukup membuat UMNO berantakan.

Tak kanlah Ahmad Zahid mahu terus membiarkan parti itu berpecah belah hanya kerana agenda politik beliau? Kalau beliau kata apa yang dilakukan adalah kehendak akar umbi maka beliau harus berani  memberitahu mereka dengan siapa UMNO akan bergabung bagi menubuhkan kerajaan.

Di sebelah pembangkang khususnya PKR, pemimpin mereka sudah tidak sembunyi-sembunyi lagi bercakap kemungkinan bekerjasama dengan UMNO. Adakah ia memberi isyarat ada sesuatu yang berlaku tanpa pengetahuan pemimpin dan ahli UMNO?

Kalau Ahmad Zahid yakin beliau berjuang atas nama kebenaran dan percaya akan mendapat sokongan pemimpin dan ahli UMNO maka maklumkan kepada mereka. Keputusan MKT menarik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN bukan isu kecil.

Sebaliknya ia akan membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu Islam dan akan membuka laluan kepada Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kalau Ahmad Zahid mahu berpakat dengan Anwar jangan sembunyi-sembunyi lagi,  pemimpin dan ahli UMNO perlu tahu, cukuplah sekali mereka keliru apabila tular surat Ahmad Zahid menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan rakaman audio perbualan Ahmad Zahid dengan ‘cikgunya’ itu.

Sedangkan di Dewan Merdeka bergegar Ahmad Zahid bercakap, ‘No Anwar,No DAP,No Bersatu’ – tapi di belakang lain pulak yang dibuat…Itupun sehingga ke hari ini Ahmad Zahid tidak mengaku secara terbuka kepada mereka.

Jika Ahmad Zahid mahu misinya menumbangkan Muhyiddin dan Kerajaan PN direstui oleh ahli-ahli UMNO maka berterus teranglah. Kenapa susah sangat? Adakah Ahmad Zahid  sekadar mahu menjatuhkan Muhyiddin dan Kerajaan PN tetapi tidak peduli apa yang berlaku selepas itu? Itu boleh dianggap  ‘kegilaan melampau’!

Di peringkat akar umbi mereka semakin tidak faham dengan ‘strategi yang tidak nampak strategi’ oleh Ahmad Zahid. Mereka keliru bila Ahmad Zahid mahu menjatuhkan Kerajaan PN ketika negara sedang diserang pandemik Covid-19. Apatah lagi empat menteri UMNO memainkan peranan dalam ‘peperangan’ berkenaan.

Ahmad Zahid tidak boleh bersandiwara apatah lagi bersikap hipokrit dalam soal kerjasama baharu itu. Kecualilah Ahmad Zahid dengan kerjasama sekutunya dalam MKT sudah membuat keputusan bahawa UMNO akan menjadi blok bebas yang menyokong kerajaan dan akan berjuang sendiri dalam PRU-15 asalkan impian menjatuhkan Muhyiddin dan Kerajaan PN terlaksana.

Apapun UMNO bukan hak Ahmad Zahid atau mana-mana pemimpin, UMNO bukan platform untuk agenda politik peribadi  apatah lagi menjadi alat untuk ‘melepaskan tengkuk’ sesiapa, tetapi UMNO adalah parti perjuangan kepada orang Melayu.

Oleh itu hala tujunya mestilah jelas dan hala tuju itu bergantung kepada Presiden parti. Kalau beliau pun dok main rahsia-rahsia dengan alasan strategi…percaya parti tu menuju ke ‘pusara’ politik.