Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC, hari ini.

‘’Baru-baru ini ada pertemuan dengan Presiden (Ahmad Zahid) dan saya ingin mengatakan di sini bahawa apabila ada tuduhan yang beliau ingin membawa UMNO  bersama PH dan DAP.

“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen.’’

Dari satu segi ‘pendedahan’ oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan itu dalam wawancara dengan portal NRChannel, kelmarin akan menjawab segala keraguan pemimpin dan ahli parti tersebut terhadap Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkaitan soal hubungan dengan Anwar.

Tetapi dari satu segi lain, ia menunjukkan betapa hebatnya seni politik ‘anak murid’ berbanding ‘cikgunya’. Ia memandangkan sebelum ini Ahmad Zahid didakwa menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar dan sebagai Perdana Menteri.

Selain itu rakaman audio yang tersebar ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu didakwa melibatkan beliau dan Anwar memberi gambaran seolah-olah Presiden PKR itu mengharapkan bantuan Ahmad Zahid untuk mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO.

Sehingga pada satu tahap ‘terpacul’ perkataan ‘pengecut’ daripada mulut mirip suara Ahmad Zahid apabila mereka bercakap soal tidak ada menteri meletakkan jawatan bagi memberi impak kepada ketetapan perhimpunan bahawa  UMNO tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan parti itu akan berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Apabila Ahmad Maslan mendedahkan sumpah Ahmad Zahid itu adakah ia membawa maksud selama ini Ahmad Zahid hanya ‘bersandiwara’ dengan Anwar? Atau adakah ia membuktikan rupa-rupanya seni politik ‘anak murid’ jauh lebih hebat berbanding ‘cikgunya’. Penulis sama sekali tidak mempertikaikan sumpah yang beliau lafazkan kerana sumpah tak boleh dibuat main-main, cuma penulis kagum dengn seni politik beliau.

Sumpah Ahmad Zahid itu terdedah ketika pemimpin dan ahli UMNO tertanya-tanya apakah strategi Ahmad Zahid selepas UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin dan PN.

Apakah ‘pekena cikgu’ adalah salah satu daripada strategi? Dengan keadaan  UMNO berpecah dua kelompok – siapakah sasaran Ahmad Zahid untuk mendapatkan sokongan bagi menubuhkan kerajaan?

Penulis faham, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu agak ‘alergi’ bila orang bercakap soal ‘what’s next’. Kata beliau dalam kenyataan hari ini, persoalan itu disifatkan mahu menimbulkan prasangka terhadap ketetapan parti yang menolak Muhyiddin dan PN. 

Kata Ahmad Zahid apa yang UMNO mahukan ialah Muhyiddin berundur dan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

‘’Tempoh Perdana Menteri baharu itu hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan PRU-15. Setelah mencapai tahap imunisasi kelompok Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihat Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,’’ katanya.

Wah hebat! Nampaknya mudah macam makan kacang… Perdana Menteri letak jawatan, lantik PM baharu, bila imuniti kelompok dicapai, bubar Parlimen, buat PRU-15. Cuma penulis nak ingatkan Ahmad Zahid, ini bukan drama politik Korea. Apa yang beliau katakan tidak semudah itu.

Banyak proses yang harus dilalui bukan sewenang-wenangnya nak tukar Perdana Menteri, mungkin bulan ini pun belum tentu selesai lagi. Tetapi apa yang penting siapa calon pilihan UMNO dan BN? Ahmad Zahid sudah bersumpah tak akan sokong Anwar dan PH, maknanya sudah tidak timbul soal parti itu akan mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tetapi kalau calon daripada UMNO siapa pula? Dan soalnya adakah wajar seorang Perdana Menteri sementara dilantik dalam kalangan pemimpin sebuah parti yang kalah dalam pilihan raya? Apa kata rakyat?

Lagi pula tidak relevan untuk Ahmad Zahid bercakap soal imunisasi kerana seperti mana dimaklumkan oleh Muhyiddin, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar.

Menjelang akhir Oktober ini dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus jumlah penduduk keseluruhan akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin. Begitu juga soal pendekatan inklusif menangani Covid-19, bukankah Majlis Pemulihan Negara (MPN dianggotai oleh pakar daripada pelbagai bidang?

Dengan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan, adakah wajar Perdana Menteri sementara dilantik? Tidakkah ia akan membawa kepada ketegangan politik lebih buruk kerana setakat ini, tidak ada satupun parti termasuk UMNO sendiri yang beria-ia mahu Muhyiddin meletakkan jawatan menyatakan siapa calon Perdana Menteri mereka.

Selain itu, kalaupun calon itu ada, nak tahu juga adakah calon tersebut mempunyai majoriti yang kukuh. Kalau setakat lebih dua atau tiga kerusi, sudah pasti kemelut politik tidak akan selesai.

Justeru lebih wajar jika kerajaan sedia ada dibenarkan berfungsi sehingga Oktober dan kemudiannya Parlimen dibubarkan, serahkan kembali mandat kepada rakyat melalui PRU-15. Insha-Allah menjelang akhir tahun ini, kita sudah bersedia melaksanakannya memandangkan imuniti kelompok sudah dicapai.

Buat sementara Ahmad Zahid simpan sahaja dulu strategi beliau untuk PRU-15 akan datang, walaupun pemimpin dan ahli UMNO tertanya-tanya apa strategi tersebut. Lagipun beliau memerlukan strategi yang hebat memandangkan ‘cikgu’ tak kan duduk diam, selepas ‘diperkena’ anak murid betul tak?