Foto Gambar hiasan

SEORANG Datuk Bandar sebuah pihak berkuasa tempatan di Johor direman tiga hari bermula hari ini berhubung siasatan kesalahan menerima rasuah.

Reman itu dibenarkan oleh Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Pegawai kanan kerajaan Johor yang berusia 60 tahun itu terlebih dahulu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi.

Suspek memakai baju lokap SPRM berwarna jingga.

Semalam, SPRM Johor dilaporkan menahan pegawai kanan kerajaan itu kira-kira pukul 3 petang di Pejabat SPRM Johor.

Suspek ketika ini bertugas sebagai Datuk Bandar di sebuah lagi PBT Johor, ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah.

Kes itu pula berlaku ketika suspek menjawat jawatan Datuk Bandar di sebuah lagi PBT negeri ini.

Mengikut hasil siasatan awal SPRM, suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek yang dilaksanakan di bawah kendalian sebuah PBT sewaktu beliau adalah Datuk Bandar majlis bandaraya tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara maksimum 20 tahun.