PENDUDUK sebelah utara terutamanya Pulau Pinang, pernah dengar kisah sebuah tasik unik yang mempunyai dua lapisan air berbeza?

Tasik ini terletak di Pantai Keracut, Pulau Pinang. Ramai yang tidak menyedari kehadiran tasik ini. Istimewanya tasik ini, ia mempunyai dua suhu, dua lapisan air, dua ketumpatan dan dua spesies marin.  Itulah keunikan Tasik Meromiktik.

Tasik ini merupakan satu-satunya danau campuran air tawar dan masin yang terdapat di benua Asia. Dikatakan di seluruh dunia, tasik seperti ini hanya ada 19 buah saja. Dan salah satu daripadanya ialah Tasik Meromiktik ini yang terletak dalam negeri Pulau Pinang.

Tasik Meromiktik di Pantai Keracut, Pulau Pinang.

Keunikannya terletak pada cara peralihan pasang surut airnya. Pada asasnya, tasik ini merupakan sebuah lagun. Sumber utama air tasik ini datang daripada lima anak sungai yang mengalir masuk ke dalamnya.

Namun, apabila berlaku fenomena air laut pasang besar, air laut yang masin akan masuk ke dalam tasik ini dengan banyak. Kemudian dalam tempoh tertentu, air masin yang membanjiri tasik ini akan keluar semula ke laut lalu mengeringkan tasik. Keadaan pasang surut ini berlaku secara bergilir-gilir setiap tahun.

Ketika air laut pasang besar, air laut akan masuk ke dalam tasik ini.

Kenapa pelik sangat nama tasik ni? Sebenarnya, nama Meromiktik itu bermaksud dua lapisan air, iaitu air laut dan air sungai yang tidak bercampur antara satu sama lain.

Lapisan air yang tidak bercampur ini menjadikan suhu air tersebut berlainan, di mana lapisan atas bersuhu sejuk dan lapisan bawah bersuhu panas.

Tasik Meromiktik.

Struktur lapisan air di Tasik Meromiktik ini dilatari oleh air laut pada dasar tasik dan air sungai pada bahagian permukaan. Terpisahnya dua lapisan air ini adalah disebabkan oleh daya ketumpatan yang berlainan, iaitu air masin mempunyai ketumpatan yang tinggi berbanding dengan air tawar.

Hidupan dalam tasik ini terdiri daripada ikan-ikan kecil serta udang laut dan sungai. Bagaimanapun, hidupan laut jarang masuk ke dalam tasik ini dan hanya sesekali sahaja dijumpai.

Proses pasang surut air masin berlaku pada musim peralihan monsun iaitu antara April hingga Mei dan Oktober hingga November.

Selepas satu tempoh waktu dan peralihan musim monsun, ombak besar dan angin kencang sekali lagi membantu proses merobohkan empangan pasir dan menarik air laut dan air sungai dari dalam tasik ini keluar ke laut. Proses ini akan mengeringkan tasik tersebut.

Fenomena ini boleh berlaku berulang kali dalam tempoh peralihan angin monsun. Beting pasir yang menjadi empangan membentuk tasik ini hanya mampu bertahan antara satu hingga tujuh hari sahaja. Jadi, hanya pengunjung bertuah yang datang pada waktu yang tepat dapat melihat proses pembentukan dan pengeringan Tasik Meromiktik ini.

Bila empangan pasir roboh, air dari tasik ini akan ditarik keluar ke laut.

Tasik ini mempunyai keluasan 2.77 kilometer persegi dengan kedalaman maksimum sembilan kaki. Jika tasik ini pasang dan dipenuhi air, ia mampu membekalkan air untuk kegunaan 2500 buah rumah selama setahun.

Tasik Meromiktik di Malaysia adalah yang kedua ditemui selepas Australia. Selain Australia, dikatakan sebuah tasik yang serupa juga terdapat di Laut Hitam.

Gambar kiri ketika tasik dipenuhi air, manakala gembar kanan ketika tasik dalam keadaan kering.

Untuk sampai ke Tasik Meromiktik, pengunjung boleh mengikuti jalan darat yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah. Bagi yang suka cabaran ombak pula boleh memilih untuk menaiki bot, yang mengambil masa kira-kira 30 minit.

Melalui jalan laut, anda bukan sahaja disajikan dengan lambungan ombak, tetapi juga berpeluang melihat sebuah batu yang berbentuk buaya dan penyu. Batu berbentuk kepala buaya yang kelihatan sedang ‘berehat’ itu mengundang pelbagai persoalan, bagaimanapun tiada siapa tahu mitos di sebaliknya.

____________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam