SUSULAN perkongsian pelawak Shuib Sepahtu yang memaklumkan niat baik pelakon Syatilla Melvin yang ingin menjadi ibu susuan kepada anak bongsunya, Ayash Affan, aktres itu bagaimanapun menafikan perkara berkenaan.

Sebaliknya isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu menjelaskan kekeliruan tawaran itu sekadar menyampaikan hasrat seorang rakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Doktor suruh bawa susu ibu…” – Shuib akui ramai tawar jadi ibu susuan untuk Ayash

“Ini antara perbualan saya dengan Shuib semasa arwah Kak Sarah masih bertarung di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Mungkin ada sedikit kekeliruan setengah pihak. Insya-Allah lepas ini dah boleh ‘clear’ dah,” katanya.

Syatilla,31, turut memuat naik tangkap layar perbualannya bersama Shuib menerusi WhatsApp.

“Tilla WhatsApp ini tujuannya nak tolong anak Shuib kalau perlukan susu badan. Bayi pramatang sangat-sangat perlukan susu badan. Kawan baik Till baru lepas pantang dan Alhamdulillah banyak susu badan dibuat stok.

“Shuib ‘reply’ Tilla kalau Shuib boleh ‘consider’,” ujar Syatilla menerusi perbualan WhatsApp tersebut.