KEADAAN negara yang masih lagi dilanda pandemik COVID-19 disifatkan bukan waktu sesuai untuk meneruskan perbalahan politik yang akan terus merunsingkan belia dan rakyat.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha turut berharap semua pihak tanpa mengira kiblat politik masing-masing agar berjiwa besar, duduk semeja dan bersatu dalam meraikan usaha ‘jalan keluar’ iaitu suntikan vaksinasi.

Beliau berkata, MBM menjunjung kasih titah yang disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana sekarang bukan waktu untuk pemimpin politik berebut kuasa dalam keadaan rakyat sedang menderita dengan pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

Beliau berkata, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menyeru agar semua rakyat dan pemimpin mengamalkan sikap saling tolong menolong tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik dalam memastikan nasib rakyat dapat diberikan fokus perhatian paling utama.

Pada masa sama, Jufitri berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin politik yang cuba mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa.

“Sultan Ibrahim juga menegaskan agar pemimpin perlu jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta perpaduan ummah.

Baca artikel berkaitan: Antara seni politik Zahid vs Anwar dan bubar Parlimen

Undi percaya bukan penyelesaian, sabar tunggu imuniti kelompok

“Bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

“Teguran daripada Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Sultan Ibrahim itu seharusnya menjadi isyarat serta mesej jelas kepada semua ahli politik dalam keadaan rakyat sedang menderita dan kehilangan nyawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jufitri berkata, dengan kadar vaksinasi dos kedua masih jauh menjangkau angka 50 peratus ditambah penderitaan rakyat yang dihimpit masalah ekonomi dan membawa kepada kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat, ia jelas bukan masa sesuai meneruskan krisis politik.

Kata beliau, MBM mahu semua pemimpin menumpukan perhatian penuh kepada pemulihan negara sehingga keadaan reda.

“Ia bagi membolehkan pilihan raya diadakan bagi memberikan laluan rakyat memilih kerajaan pilihan mereka yang lebih stabil,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram