TASYA sering merungut kerana terpaksa berulang-alik ke bilik air semasa waktu bekerja. Keinginannya untuk membuang air kecil seakan-akan tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Kadangkala apabila kencing, Tasya merasa sakit seolah-olah terbakar pada hujung tempat air kencing keluar. Malah, dia juga merasa tidak selesa di bahagian bawah abdomen, di belakang dan sisi tubuhnya.

Sebenarnya, situasi ini kerap berlaku di kalangan wanita muda yang mengalami kebocoran air kencing terutama sekali apabila batuk, ketawa dan bersin. Ia juga boleh berlaku semasa berlari, melakukan senaman mahupun semasa berjalan.

Penting untuk anda mengetahui terlebih dahulu struktur salur kencing anda. Salur kencing terdiri daipada dua ginjal, dua ureter, pundi kencing dan urethra.

Jangkitan salur kencing mempunyai beberapa petunjuk klinikal. Antaranya ialah asymptomatic bacteriuria (bakteria dikesan dalam air kencing tanpa menunjukkan tanda- tanda dan gejala), cystitis iatu radang pundi kencing dan pyelonephritis yakni jangkitan pada buah pinggang.

Jangkitan salur kencing biasa pada wanita. Lebih kurang 50 hingga 80 peratus wanita mendapat jangkitan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, biasanya melibatkan cystitis yang tidak rumit.

Kejadian jangkitan buah pinggang lebih kurang 28 setiap 10,000 orang wanita dikesan pada setiap tahun. Penyakit ini jarang berlaku di kalangan lelaki yang masih muda.

Di kalangan kumpulan lelaki yang telah berumur, bengkak kelenjar prostat jenis binign kebiasaannya adalah faktor penyebab jangkitan salur kencing.

Faktor risiko bagi jangkitan salur kencing termasuklah hubungan seks bagi wanita (cystitis bulan madu), salur kencing yang tidak normal, diabetes, kencing tidak terkawal pada wanita, batu karang dalam buah pinggang, kehamilan dan pemasangan tiub dalam salur kencing.

Jangkitan ini adalah implikasi daripada pelbagai organisme seperti escherichia coli (80 hingga 85 peratus), staphylococcus saprophyticus (lima hingga 15 peratus), klebsiella species, proteus species (kebiasaannya mendapat jangkitan di hospital, pseudomonas aeruginosa, candida dan enterococci serta lain-lain organisme.

BAGAIMANA MENGETAHUI MENDAPAT JANGKITAN SALUR KENCING?

Tanda-tanda jangkitan bahagian bawah salur kencing adalah cystitis dan radang salur kencing urethra, pedih semasa kencing, kerap kencing, kencing yang tidak boleh tahan, kerap kencing malam, sakit bahagian ari-ari dan kencing keruh, berbau atau kencing berdarah.

Jangkitan pada salur kencing boleh berlaku berulang-ulang (berlaku selepas cukup tempoh rawatan atau semasa dalam rawatan). Jangkitan yang berulang-ulang boleh menjurus kepada radang ginjal atau kegagalan ginjal.

PROSEDUR PENGAMBILAN CONTOH AIR KENCING

Anda perlu berjumpa doktor agar sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal dapat dilakukan. Ujian air kencing dilakukan dengan cara mendapatkan terlebih dahulu sampel air kencing di peringkat pertengahan semasa kencing bagi mendapatkan sampel yang bersih.

Selepas itu, beberapa ujian seperti pemeriksaan contoh air kencing mikroskopi dan dipstick serta ujian kultur dan sensitiviti akan dibuat ke atas sampel untuk mengesahkan diagnosa.

Doktor mungkin meminta anda menjalani ujian selanjutnya seperti ujian darah profil ginjal bagi tujuan memeriksa fungsi ginjal atau ujian kandungan gula untuk memastikan anda bebas kencing manis.

RAWATAN JANGKITAN SALUR KENCING

Pada amnya, jangkitan salur kencing tanpa sebarang tanda-tanda tidak memerlukan rawatan. Bagaimanapun, jangkitan berserta dengan gejala memerlukan rawatan antibiotik dan dirawat sebagai pesakit luar.

Anda perlu masuk wad sekiranya penyakit serius atau tidak sesuai dengan ubat makan atau mengalami komplikasi perubatan yang memerlukan terapi intravena.

Rawatan dengan agen antimicrobial tidak mencukupi, ini adalah kerana punca jangkitan salur kencing perlu disahkan terlebih dahulu oleh pengamal perubatan sebelum rawatan lanjut dilakukan terhadap si pesakit.

Terdapat perbezaan besar dalam pendekatan rawatan untuk jangkitan salur kencing bagi wanita mengandung. Bagi mereka, asymptomatic bacteriuria hendaklah diselesaikan secara aktif dan perlu dirawat secara agresif (pemeriksaan lanjut tidak diperlukan jika tidak hamil).

Selain daripada itu, cystitis yang tidak teruk dan asymptomatic bacteriuria semasa hamil memerlukan rawatan jangka pendek. Walau bagaimanapun, ubat yang digunakan hendaklah selamat dan terhad pada wanita hamil sahaja.