Gambar hiasan

EKSPLOITASI yang dilakukan golongan disebut sebagai ‘penyondol agama’ disifatkan semata-mata mahu melunaskan fantasi peribadi sehingga sanggup berselindung di sebalik agama.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim malah menyifatkan golongan sedemikian sering memaparkan persona umpama malaikat sedangkan berperangai seperti syaitan.

Kata beliau, imej ‘penyondol agama’ untuk melakukan kegiatan jenayah bukan sesuatu yang baru tetapi telah pun bermula sejak tahun 70-an lagi.

Beliau berkata, ia dimulakan oleh gerakan radikal yang mahu merosakkan negara termasuk Tentera Sabiullah, Golongan Rohaniah dan Koperasi Angkatan Revolusi Islam Malaysia.

Kamal Affandi Hashim

“Jika kita lihat kepada sejarah maka tak hairan apabila ada segelintir ‘penyondol agama’ ini menggunakan topeng yang sama untuk melempiaskan kemahuan seksual mereka.

“Penjenayah ini sentiasa kreatif. Mereka bijak kelabukan mata masyarakat dengan menggunakan sentimen bagi mencapai hajat jenayah masing-masing.

“Perkara itu sebenarnya biasa tetapi malangnya untuk meyakinkan orang ramai agak sukar, namun ‘raksasa’ sebegini kita harus tumpaskan,” katanya ketika dihubungi UtusanTV hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal Affandi berkata, golongan ‘penyondol agama’ ini mengeksploitasi agama kerana ia merupakan jalan mudah bagi mengecapi pengaruh dan menyempurnakan hajat sebenar.

Baca artikel berkaitan: Munafik akhlak penunggang agama rosakkan imej Islam

Menurut beliau, golongan sedemikian juga bijak menggunakan platform termasuk media sosial dan media massa bagi memaparkan perkara kebaikan bagi melindungi keperibadian sebenarnya.

Beliau malah berkata, masyarakat tidak perlu meyakinkan segelintir pihak yang ‘taksub’ kepada ‘penyondol agama’ ini sebaliknya menggunakan undang-undang bagi memberi hak dan keadilan kepada mangsa yang terlibat.

“Saya malah tidak terkejut apabila ada keputusan mahkamah nanti pun ada ahli masyarakat yang tidak mempercayai keadilan ditentukan.

“Apa yang penting adalah inti pati pendakwaan itu perlu dilakukan, bukan memenuhi hasrat penyokong kerana kita perlu berikan keadilan kepada mangsa.

“Saya merayu kepada mereka yang masih menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana aktiviti jijik itu tidak akan berhenti.

“Mangsa juga tidak perlu gusar, simpan segala maklumat yang boleh digunapakai untuk membina sesuatu kes,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram