BAD hair day….ada kalanya, rambut serba tidak kena. Puas diikat, disanggul, ke kiri dan ke kanan, namun dandanan tetap tidak menjadi. Mungkin kerana rambut anda mengalami masalah sehingga menyukarkan ia dirapi.
Kenal pasti beberapa masalah rambut dan cara mengatasinya.
RAMBUT NIPIS / LEPER

Ciri-ciri:
Rambut nipis atau juga digelar baby hair. Rambut jenis ini mempunyai struktur lembut, jarang diserang masalah rambut tetapi selalunya leper atau sukar dibentuk ketika didandan. Elakkan potongan rambut berlapis kerana ia akan membuatkan rambut anda nampak lebih nipis.
Rawatan:
Jika anda ingin menambah ketebalan kutikel 2 rambut dengan produk volume, berhatihati supaya tidak terlebih membajainya kerana rambut nipis akan jadi lebih parah dengan formula yang terlalu berat.
Sebaliknya, aplikasikan semburan produk volume yang tipis ke dasar rambut dan keringkan rambut dengan teknik blow. Gunakan jari untuk menggemburkan rambut ketika proses blow.
Elakkan blow rambut yang masih basah kerana ia akan menyebabkan rambut semakin leper dan kelihatan semakin tidak bermaya.
RAMBUT MENGGERBANG

Ciri-ciri:
Rambut menggerbang terjadi apabila lembapan gagal meresap sehingga merosakkan kutikel rambut. Jika anda kerap menggunakan alat penggayaan rambut seperti pengering, penggulung dan pelurus rambut serta selalu terdedah kepada penggunaan bahan kimia, risiko untuk mengalami masalah rambut menggerbang akan semakin tinggi.
Rawatan:
Guna produk dandanan yang mengandungi pengekal lembapan. Ia mampu melembutkan rambut dan melindunginya daripada keadaan cuaca seperti angin dan matahari yang boleh mengeringkan rambut. Gaya rambut juga akan bertahan lebih lama.
Sebagai permulaan, sebelum mendandan rambut, letak perapi dan bilas rambut dengan air suam untuk memberikan impak berkilau.
Kemudian, sapu produk dandanan ketika rambut basah dan blow menggunakan pengering rambut pada kadar warm dengan menggunakan berus rambut ber bentuk bulat. Selepas proses blow, semburkan air sejuk untuk mengekalkan gaya yang telah didandan.
KERUPING

Ciri-ciri:
Kulit kepala yang kering sehingga ke suatu tahap boleh membawa masalah keruping. Ramai yang keliru di antara keruping dengan kelemumur. Perbezaan yang paling ketara, kelemumur hadir dengan kulit kepala berminyak dan saiz kelemumur lebih besar berbanding keruping yang biasanya kelihatan seperti debu.
Rawatan:
Kulit kepala kering memerlukan rawatan lembapan. Elak daripada menggunakan syampu antikelemumur, sebaliknya gunakan syampu yang lembut dan mampu memberi lembapan.
Syampu dengan rumusan menghapus kelemumur, bertindak untuk mengeringkan minyak pada kulit kepala. Jika anda mengalami masalah keruping, penggunaan syampu antikelemumur akan memburukkan lagi keadaan.
Kebanyakan masalah kulit kepala berpunca daripada gaya pemakanan individu. Jadi, banyakkan makan sayuran dan minum air masak secukupnya.
KERINTING LIAR

Ciri-ciri:
Rambut keriting cenderung kering. Memandangkan helaian rambut tidak lurus, rambut kurang berkemampuan untuk membalikkan cahaya dan menyebabkan ia nampak kusam.
Rawatan:
Untuk masalah ini, anda perlukan produk yang mampu menyerlahkan kilauan rambut. Serum mampu memberikan rambut keriting kilauan yang berseri. Ia juga melawan rambut daripada menggerbang.
Selepas bersyampu, balutkan rambut dengan tuala, kemudian biarkan rambut kering dengan sendiri sebelum mengaplikasikan sebarang produk kerana lebihan air akan membuatkan rambut keriting lebih berat.
Untuk lebih mudah menguruskan rambut keriting, gunakan perapi tanpa bilas dan tumpukan pada hujung rambut. Gulungkan setiap ruas rambut dengan jari untuk meratakan perapi pada setiap lengkuk rambut kerinting.