Ivermectin masih belum mendapat kelulusan KKM namun dijual di media sosial dengan menyasarkan untuk merawat COVID-19./ Gambar FB KKM

IVERMECTIN belum mendapat kelulusan untuk dijual, tetapi di media sosial ubat anti-parasit yang digunakan haiwan ini boleh diperoleh dengan agak mudah.

Didakwa kononnya mampu mengubati COVID-19 hinggakan ada segelintir ahli Parlimen mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya meluluskan segera ubat itu pada sidang khas Dewan Rakyat bulan lalu.

Namun, jelas KKM, kajian klinikal masih dijalankan ke atas keselamatan dan keberkesanan ubat itu dalam merawat pesakit COVID-19 dengan keputusannya dijangka diketahui bulan depan.

Walau bagaimanapun, Pusat Racun Negara telah mula menerima kes keracunan Ivermectin kebelakangan ini.

Menurut KKM, kes pertama melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang mengalami sesak nafas berpanjang setelah mengambil sebiji Ivermectin.

Kata kementerian itu, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.

“Kes kedua pula, seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekaligus.

“Setakat ini, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan COVID-19 di Malaysia.

“Namun, didapati terdapat aktiviti penjualan ubat ini secara tidak sah sedang berlaku. Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan,” kata KKM menerusi media sosial kementerian berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Ivermectine: FB hingga Parlimen, doktor kata jangan campur tangan

Maklumat belum cukup untuk guna Ivermectin

Menurut KKM, Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening. Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian.

“Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini.

“Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri,” ujar KKM.

Berdasar laporan sebelum, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram