“SAYA orang biasa, hanya penggali kubur,” tutur lelaki berusia 63 tahun ini. Sebelum ini, tiada siapa mengenali lelaki berambut putih ini. Apabila wajah dan namanya terpampang dalam media baru-baru ini, barulah seluruh Malaysia tahu lelaki ini seorang penggali kubur.

Lelaki ini bernama Roslee Ali. Pada Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1443H/2021M baru-baru ini, dia dianugerahkan sebagai ‘Tokoh Frontliner Khas Ma’al Hijrah’, salah satu kategori baru yang diwujudkan dalam anugerah ini.

Roslee sendiri tidak pernah menyangka akan menerima penghargaan seperti ini dengan tugasnya hanya sebagai penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih di Gombak, Selangor.

Bukan baru setahun dua dia menjalankan amanah ini, menyediakan rumah terakhir manusia sebelum diadili di padang Masyar kelak. Bagi Roslee, dia melakukan pekerjaan ini sebagai fardu kifayah sambil mencari rezeki dengan keredhaan Allah.

Namun, ada kisah menarik di sebalik bagaimana dia mula menjadi penggali kubur dahulu.

Roslee Ali, penggali kubur yang menerima anugerah Tokoh Frontliner Khas Ma’al Hijrah. Foto JAWI.

Roslee mula menjadi penggali kubur sepenuh masa sejak 10 tahun lalu. Sebelum itu, beliau bekerja sebagai tukang paip. Namun, bila ada masa terluang, beliau sering membantu untuk menggali kubur jika ada kematian.

Namun, pada tahun 2011, isterinya Rosnah Ahmad meninggal dunia. Kematian isteri yang dicintai telah mengubah perjalanan hidup Roslee.

“Arwah isteri saya dikuburkan di sini. Saya tinggalkan kerja asal saya untuk menjadi penggali kubur sepenuh masa, supaya saya dapat lihat dan ziarah kubur isteri saya setiap hari,” katanya. Arwah isterinya dikebumikan di tanah perkuburan yang sama tempat Roslee bertugas sekarang.

Bayangkan, Roslee sanggup meninggalkan kerjanya sebagai tukang paip yang sudah dilakukan selama 40 tahun, semata-mata mahu berada ‘dekat’ dengan isteri yang dikasihi.

Tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah. Di sini isterinya dikuburkan dan Roslee memilih menjadi penggali kubur sepenuh masa supaya dapat menziarahi kubur isterinya setiap hari. – Foto JAWI.

Tidak sedikit pun dia menyesal menukar haluan. Sebaliknya, lebih banyak nikmat diperolehinya apabila dia menjadi penggali kubur sepenuh masa.

Jika dulu sebagai tukang paip, dia harus keluar pagi pulang malam. Kadangkala dia terpaksa meninggalkan keluarga dalam tempoh yang lama jika harus bertugas di luar kawasan, malah sehingga ke Sarawak.

Namun setelah kematian isterinya dan memilih menjadi penggali kubur sepenuh masa, dia merasakan lebih banyak nikmat kehidupan yang diperolehinya.

Roslee memberitahu, dia mempunyai lebih banyak masa untuk bersama anak cucunya selepas kematian isterinya. Bermain dengan tanah dan liang lahad bukan sekadar untuk mencari rezeki tetapi juga memberinya ketenangan, mengingatkan tentang kematian yang pasti tiba, juga peluang untuk dirinya merebut ganjaran pahala.

Pandemik Covid-19 Merubah Suasana Perkuburan

Sungguh pun begitu, wabak Covid-19 yang melanda kini telah mengubah suasana di tanah perkuburan. Kematian demi kematian akibat pandemik ini secara tidak langsung telah mengubah rutin kebiasaan Roslee sebagai penggali kubur.

Kini, seawal pagi selepas solat Subuh, Roslee akan terus keluar rumah. Destinasinya adalah Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah. Sebelum mentari menyinarkan cahayanya, Roslee sudah mula mencangkul tanah.

Tugas Roslee menyediakan ‘rumah’ terakhir untuk manusia sebelum diadili kelak. – Foto JAWI.

Selalunya sekitar pukul 7.15 pagi, Roslee bersama enam orang rakan akan mula menggali kubur. Jumlah kematian yang meningkat akibat Covid-19 ketika ini, mereka perlu menyediakan lebih kurang 40 buah kubur setiap hari.

Kata Roslee, antara 20 hingga 30 liang lahad yang digali ketika ini selalunya untuk jenazah Covid-19. Selebihnya adalah untuk kematian biasa. Pengebumian jenazah Covid-19 dilakukan bermula pukul 3.00 petang ke atas, dan disambung selepas Isyak sehingga semuanya selesai dikebumikan.

Tugas Roslee turut dilaksanakan bersama petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pegawai agama untuk mengendalikan jenazah mangsa Covid-19.

Roslee juga perlu memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang diwajibkan untuk mengelakkan risiko dijangkiti. Makan juga hanya nasi bungkus di kawasan perkuburan itu juga. Tidak lagi dia dapat pulang ke rumah untuk makan bersama keluarganya seperti sebelum wabak ini melanda.

Roslee dalam pakaian PPE. – Foto JAWI.

Roslee juga terpaksa berkorban harus ‘berjauhan’ dengan anak cucunya walau duduk dalam satu rumah. Selepas seharian berada di kubur, Roslee pulang ke rumah lalu membersihkan diri dan kemudian berkurung di dalam bilik.

Dia yang tinggal bersama anak kelimanya di Sentul berkata, bila pulang ke rumah, dia hanya akan keluar untuk makan saja. Selebihnya dia duduk di dalam bilik, tidak lagi dapat bergurau senda dengan anak cucunya. Ini kerana Roslee tidak mahu ahli keluarganya berisiko dijangkiti kerana tugasnya kini yang terdedah dengan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah, sejak saya uruskan jenazah Covid-19 dari bulan Mac tahun lepas sampai sekarang, saya belum pernah menghadapi masalah kesihatan atau dijangkiti wabak ini. Tapi bukan bermakna kita ambil mudah, SOP tetap kena jaga. Selebihnya, saya berdoa dan tawakal kepada Allah agar saya dan keluarga dilindungi,” kata Roslee.

Selagi ada kudrat, bapa kepada enam anak dan 16 cucu ini akan terus menggali kubur. Tambahan pula dalam keadaan sekarang, bagi Roslee ini bukan waktu untuk dia berehat, sebaliknya dengan kes kematian yang kian meningkat, dia harus melaksanakan amanah yang diberi.

Karikatur Roslee Ali lakaran Ustaz Mohd Shafei Ahmad, guru Sekolah Intergrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Abu Dzhar Al-Ghifari

_______________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam