Rawatan jaraj jauh dalam Islam

Suatu masa, tangan saya pernah terseliuh.  Apabila dibawa berjumpa seorang bomoh patah, dia hanya mengukur lengan saya dengan sebatang lidi kelapa dan menyuruh saya pulang. Dia berpesan,  jika terasa sesuatu mengurut lengan saya pada malam nanti,  itu adalah sebahagian proses rawatan. Pada waktu itu, saya baru berusia 15 tahun dan belum memahami kaedah rawatan yang digunakan. Namun, lama-kelamaan baru saya sedar tentang kaedah rawatan jarak jauh.

Hari ini, muncul pelbagai kaedah rawatan jarak jauh. Hanya bank-in duit, SMSkan nama, nombor telefon, hajat anda akan diusahakan. Jika para pembaca google perkataan ‘rawatan jarak jauh’, berlambak-lambak perkhidmatan sebegini ditawarkan melalui internet. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa lain termasuk orang barat yang bukan beragama Islam juga mengamalkan kaedah ini.

Bila ada yang menelefon saya minta dirawat atau didiagnos dari jarak jauh, maka saya rasa terpanggil untuk menghuraikan permasalahan ini. Mudah-mudahan kita semua dilindung oleh Allah dari melakukan perbuatan yang menyalahi syariat Allah dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

DIAGNOS PENYAKIT DARI JARAK JAUH

Bagi mereka yang sukar bertemu perawat, perkhidmatan diagnos (atau lebih popular dengan istilah scan) dari jauh disediakan. Pesakit tidak perlu hadir bertemu perawat. Memadai hanya melalui telefon atau SMS nama pesakit, nama ibu dan tarikh lahir. Segalanya dilakukan secara on-line.

Perawat akan meneliti nama pesakit dan angka-angka yang diberi untuk menentukan jenis dan punca penyakit. Kaedah diagnos sebegini merupakan sebahagian amalan menilik yang dilarang dalam Islam. Kaedah ini sama sahaja dengan apa yang dilakukan pada zaman jahiliyyah di mana dukun dan pawang hanya memerlukan nama pesakit dan nama ibunya serta tarikh lahir untuk ditilik.

Nabi s.a.w. melarang perbuatan ini dengan sabdanya,

““Barangsiapa yang datang berjumpa bomoh dan tukang tilik, segala amal ibadah solatnya tidak akan diterima selama 40 malam”

Seseorang yang mempunyai kebolehan menilik sebenarnya dikurniakan kasyaf. Kasyaf ialah suatu keadaan seseorang itu dibukakan hijab pandangan matanya sehingga dapat melihat sesuatu yang ghaib, yang tiada di hadapannya.

Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa kasyaf ini boleh jadi kurniaan dari Allah dan boleh jadi dari tipu daya syaitan. Cara paling mudah untuk membezakannya ialah dengan melihat kekerapan kejadiannya. Kasyaf yang dikurniakan Allah hanya berlaku sekali sekala dan tidak boleh ditentukan. Ianya datang secara mengejut dan tidak boleh diprogramkan.

Sebagai contoh, Saidina Umar sendiri pernah dikurniakan kasyaf, dibukakan hijab pandangan sehingga dapat melihat pasukan tentera Islam yang diketuai sahabat bernama Sariyah dalam bahaya. Saat tersebut berlaku ketika Umar sedang menyampaikan khutbah di Madinah sedangkan Sariyah dan tenteranya berada di Dakhistan yang jaraknya beratus kilometer dari ibu kota tersebut.

Perkara itu berlaku hanya sekali sahaja dan tanpa diprogramkan oleh Umar. Manakala pada malam beliau dibunuh, orang yang menikamnya iaitu Abu Lu’luah hanya berada beberapa kaki di belakangnya sahaja. Sekiranya kasyaf itu boleh diprogramkan, maka sudah tentu Umar dapat melihat tindakan Abu Lu’luah itu.

Oleh sebab itu, para ulama mengatakan bahawa terbukanya hijab sehingga dapat melihat perkara-perkara ghaib merupakan sebahagian karamah. Ianya terjadi mengikut kehendak Allah dan tidak boleh diatur mengikut kehendak kita.

Kasyaf boleh jadi dari Allah atau tipu helah syaitan

Kasyaf syaitan dan jin pula boleh diatur mengikut kehendak kita. Sebab itu, orang yang mendakwa boleh melakukan tilikan atau melihat sesuatu yang ghaib, maka mereka perlu berhati-hati kerana kemungkinan ianya adalah tipu daya syaitan. Ia bukanlah deria keenam atau kebolehan istimewa.

Ketika Baginda s.a.w. disihir oleh Labid al-A’sam, Baginda sendiri tidak menyedari bahawa Baginda disihir sehingga dimaklumkan oleh para malaikat. Sekiranya Nabi s.a.w. dan para sahabat boleh mengetahui perkara ghaib melalui tilikan, maka sudah tentu Baginda dapat mengelakkanya. Firman Allah dalam surah Al-A’raf: 188,

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah; dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

RAWATAN JARAK JAUH

Selain scan, ada juga perawat yang menyediakan perkhidmatan merawat penyakit dari jarak jauh. Antara yang paling popular ialah membuang saka dari jarak jauh atau menghapus sihir dengan mengambil barang sihir dari jauh. Pesakit hanya perlu berada di rumah dan melakukan beberapa perkara seperti yang diarahkan perawat.

Sesetengah perawat meminta pesakit membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran ketika rawatan untuk menampakkan ciri Islamik.

Sekiranya diteliti kisah Nabi disihir oleh Labid al-A’sam, Baginda sendiri memerintahkan para sahabat agar pergi ke telaga Za’rawan dan menyuruh mereka meleraikan ikatan sihir tersebut. Tidak ada riwayat mengatakan nabi menyuruh mana-mana malaikat mengambilnya secara ghaib. Kisah ini memberi panduan kepada para perawat akan selok-belok perubatan Islam yang sebenar.

Ada juga perawat yang menyediakan khidmat ‘memulangkan semula’ sihir kepada pembuatnya. Mereka menggunakan objek tertentu seperti keris, serban, sejadah dan seumpamanya untuk menghukum diri penyihir yang melakukan sihir terhadap pesakitnya. Beberapa potong ayat al-Quran dibaca dan dihembus kepada objek tersebut.

Serban atau sejadah ini dipukulkan pada tubuh pesakit dengan niat memindahkan kesakitan pukulan kepada penyihir. Dengan kaedah ini, mereka yakin penyihir akan merasa sakit terkena pukulan atau tikaman.

Dalam hadis tentang kisah Nabi s.a.w. disihir oleh Labid al-A’sam, Aisyah bertanya kepada Baginda mengapa bahan-bahan sihir yang ditemui dalam telaga Za’rawan tidak dibakar, mudah-mudahan si penyihir tersebut merasai kesakitan. Jawab Nabi,

“Allah telah menyembuhkan aku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”.

Itulah uswah contoh terbaik yang perlu diteladani oleh para perawat Islam. Tidak perlu membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan.

Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang

Artikel berkaitan: siri 2 rawatan jarak jauh membalas sihir dengan jurus silat sahabat nabi

_______________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram