Orang ramai melakukan aktiviti sukan ketika Perintah Kawalan Diperketat (PKP) di Taman Tasik Shah Alam, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TAMAN-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.

Namun begitu, Perdana Menteri memaklumkan, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti berjoging, berbasikal dan bersenam dibenarkan selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan serta riadah dalam Fasa 1 PPN.

Kata beliau, orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja dengan aktiviti rentas negeri atau daerah untuk ke taman rekreasi lain tidak dibenarkan.

“Kebenaran ini amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.

“Jadi saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna.

“Ingin saya tegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan dan mengelakkan mudarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kedai cuci kereta, gunting rambut dibenar beroperasi mulai esok

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berharap kemudahan-kemudahan yang diumumkan bukan sahaja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental malah turut membantu memulihkan semula secara berperingkat situasi khususnya kumpulan yang terlibat dalam sektor ekonomi.

Namun begitu, katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan-kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap garis panduan serta SOP yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, jika berlaku jangkitan di premis yang menerima kemudahan-kemudahan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan segera mengambil langkah sewajarnya termasuk melakukan penilaian semula risiko serta tidak menolak kemungkinan menutup serta-merta premis atau kawasan yang terlibat selain mengeluarkan kompaun kepada pihak yang dikenal pasti melanggar SOP.

“Sekali lagi saya ingin mengingatkan kemudahan yang diberi bukan bermakna rakyat telah mendapat kebebasan mutlak. Setiap SOP, garis panduan dan prosedur mesti dipatuhi sebaiknya.

“Amalan pemakaian pelitup muka, melaksanakan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan kendiri juga mesti diteruskan oleh setiap lapisan masyarakat.

“Virus COVID-19 masih berada di persekitaran dan kita mestilah terus berjuang bersama-sama untuk memeranginya habis-habisan. Insya-Allah kita menang bersama,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram