“PENGUNDURAN atas tanggungjawab bersama, bukan kesalahan bersama.”

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam ciapan Twitter hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin turut melahirkan penghargaan kerana diberi peluang menganggotai Kabinet dan berkhidmat sejak Mac tahun lalu.

“Terima kasih atas segalanya, yang pahit menjadi ubat, yang manis menjadi pengubat. Negara selamat semua terubat,” katanya dalam ciapan hari ini.

Beberapa menteri telah menggunakan platform media sosial masing-masing untuk merakamkan ucapan terima kasih susulan peletakan jawatan.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin di Instagram Story berkata, barisan Kabinet telah pun menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin beredar dari Istana Negara, KJ sahkan Kabinet letak jawatan

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut merakamkan ucapan terima kasih sambil menyifatkan peluang untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat sebagai satu penghormatan.

Perdana Menteri, Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan pekarangan Istana Negara kira-kira jam 1 tengah hari tadi selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah .

Terdahulu kenderaan membawa Muhyiddin memasuki pekarangan Istana Negara menerusi pintu 1 kira-kira jam 12.35 tengah hari tadi.

Muhyiddin sempat melambaikan tangan ke arah wakil media yang menunggu di pekerangan Istana Negara sejak pagi tadi.

Muhyiddin dijangka menyampaikan perutusan khas diikuti sidang akhbar bagi mengumumkan peletakan jawatannya pada pukul 3 petang ini.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram