Kenderaan yang membawa Perdana Menteri caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari pekarangan Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

WALAUPUN caretaker, umumnya kuasa yang ada adalah sama sahaja kecuali seperti namanya iaitu bersifat sementara.

Lazimnya kerajaan caretaker mengambil tempat selepas pembubaran Parlimen dan kerajaan itu terus menjadi kerajaan sehinggalah Perdana Menteri baharu dilantik.

Konvensyen atau amalan biasa ialah kerajaan caretaker meneruskan apa yang telah dilakukan, tidaklah pula membuat dasar penting atau keputusan besar dalam tempoh caretaker.

Namun jika situasi mendesak seperti aspek keselamatan, kerajaan caretaker berhak melakukan seperti apa yang kerajaan biasa boleh lakukan.

Hal ini pernah dijelaskan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail pada sidang Dewan Rakyat lebih dua dekad lalu.

Allahyarham yang juga bekas hakim kanan itu menjelaskan situasi yang pernah berlaku di India yang mana perang diisytiharkan oleh kerajaan caretaker.

Memetik hansard Dewan Rakyat 20 Disember 1999, Mohamed Zahir berkata, selepas Parlimen India dibubarkan, berlaku ketegangan di Kashmir maka kerajaan caretaker yang mengisytiharkan peperangan.

“Caretaker government itu telah menghantarkan peperangan, membuat peperangan, sah dari segi undang-undang Perlembagaan,” katanya.

Mohamed Zahir memberi pandangan itu susulan bantahan pembangkang mengenai keabsahan kerajaan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memanggil mesyuarat sidang Dewan Rakyat pertama selepas Pilihan Raya Umum 1999.

“Ini kalau sekiranya dibandingkan, memasyhurkan peperangan dengan hanya hendak menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, hendak mengadakan mesyuarat.

“Tentulah lebih kurang ringannya berkenaan dengan perkara memanggil mesyuarat itu,” kata Allahyarham memberi gambaran kuasa kerajaan caretaker.

Menurut Mohamed Zahir, kerajaan selepas Parlimen dibubarkan akan menjadi kerajaan caretaker.

“Apabila Parlimen dibubarkan, Jemaah Menteri yang wujud sebelum pembubaran itu terus memegang jawatan sehinggalah Jemaah Menteri yang baru dilantik”. Ini adalah mengikut Perkara 43 Perlembagaan.

“Jemaah Menteri dipanggil dengan nama caretaker government. Di United Kingdom ini adalah sudah menjadi satu convention, begitu juga di negara-negara lain yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen.

“Oleh yang demikian, Jemaah Menteri itu ataupun seseorang menteri yang bertindak atas kuasa am Jemaah Menteri itu mempunyai kuasa untuk menasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh memanggil Parlimen,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin PM caretaker sehingga PM baru dilantik, PRU-15 bukan pilihan – Istana Negara

Muhyiddin beredar dari Istana Negara, KJ sahkan Kabinet letak jawatan

Maka, wahai rakyat Malaysia sekalian, apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong sangat tepat dalam memastikan kelicinan pentadbiran sementara kerajaan baharu dibentuk.

Apatah lagi ketika ini wabak COVID-19 masih melanda dan program vaksinasi sedang rancak.

Tiada apa yang mengganggu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali juga memberi jaminan penjawat awam akan terus komited berkhidmat seperti biasa.

Biarlah masa menentukan siapa yang bakal mempunyai majoriti sokongan di Dewan Rakyat tanpa perlu kita serabut tentang siapa nak menguruskan negara dalam tempoh ini.

Macam biasa juga. Jangan pening-pening. Jentera kerajaan berfungsi macam biasa.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram