YANG di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yasin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Dalam kenyataan Istana Negara sebentar tadi, Seri Paduka memberi perkenan ini susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

Ini adalah selaras dengan Perkara 40 (2)(a) dan 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Kenyataan itu memaklumkan, surat peletakan jawatan itu diterima Yang di-Pertuan Agong pada sesi menghadap oleh Muhyiddin selama 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari tadi di Istana Negara.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Muhyiddin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melambai tangan kearah media ketika masuk ke perkarangan Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Menurut Ahmad Fadil, selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin beredar dari Istana Negara, KJ sahkan Kabinet letak jawatan

Sementara itu, beliau berkata, Seri Paduka juga telah menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos lalu, 79 peratus (484) daripada 613 kawasan DUN adalah zon merah COVID-19.

Pada masa sama, katanya, Seri Paduka turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

Katanya, justeru pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan PRU-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Seri Paduka menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah menganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda trut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” ujar Ahmad Fadil.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram