Mohd. Rosni Mohd. Lazim

POLIS Pulau Pinang mengesan modus operandi baharu oleh sindiket untuk menipu orang ramai iaitu dengan menawarkan peluang pekerjaan menerusi aplikasi beli-belah dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komissioner Mohd. Rosni Mohd. Lazim berkata, sejak Januari hingga kelmarin, pihaknya menerima sebanyak 149 laporan polis berhubung penipuan oleh sindiket itu membabitkan kerugian sehingga RM1.2 juta.

Jelas beliau, sindiket itu mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook menggunakan logo platform beli-belah terkemuka dengan individu yang berminat akan menekan pautan diberikan.

Katanya, sindiket itu kemudian mengarahkan mangsa membeli barangan di platform e-dagang dan dijanjikan komisyen antara lapan dan 15 peratus bergantung kepada jumlah belian.

Tambahnya, pembayaran yang dibuat mangsa akan dipindahkan ke akaun wang yang dikawal oleh sindiket terbabit dengan jaminan wang mereka berserta komisyen akan dipulangkan dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat.

“Pada mulanya, mangsa menerima wang dan komsiyen seperti dijanjikan, namun selepas mereka membeli dalam jumlah yang banyak, sindiket itu akan bertindak menyekat panggilan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Rosni, pihaknya sehingga kini telah membuka 107 kertas siasatan berhubung kes itu melibatkan mangsa masing-masing 66 wanita dan 41 lelaki.

Kesemua mangsa katanya, berusia antara 24 hingga 54 tahun dengan 35 daripada mereka merupakan penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah.

Ujarnya, polis kini sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan itu selain turut menahan beberapa individu yang bertindak sebagai keldai akaun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.