Silat sahabat nabi

Islam juga melarang para perawat menghukum seseorang yang melakukan kejahatan dengan menggunakan kaedah yang tiada dalam sunnah. Sebagai contoh, dalam kes kecurian, ada pengamal yang mensyaratkan mangsa merebus telur yang telah dilukiskan wajah pencuri.

Menurut pengamal ini, selagi mangsa tidak memulangkan barang tersebut, selagi itu dia akan berasa panas. Selain telur, ada juga pengamal yang mensyaratkan mangsa supaya menggoreng batu sambil membaca ayat ke 16 surah Luqman sebanyak 116 kali. Memang ada ulama yang memberi panduan agar membaca ayat tersebut, mudah-mudahan Allah mengembalikan semula barang tersebut.

Yang menjadi khurafatnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng adalah amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh amalan sedemikian merupakan percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat.

Ilmu pertahanan diri turut diresapi penggunaan unsur ghaib dan mistik seperti jurus kebatinan. Di Malaysia, pertubuhan seperti persaudaraan al-Maunah, Nasrul haq, penjuru 13 dan seumpamanya mengajar pengamalnya teknik pukulan dan jurus jarak jauh. Ada pengamalnya yang mendakwa bahawa ianya pernah digunakan oleh para sahabat. Lalu dinamakan jurus Saidina Umar dan Silat Saidina Ali.

Agak melucukan kerana para sahabat tidak pernah mengasaskan mana-mana persilatan. Apabila pergi berperang, para sahabat akan berdepan secara bersemuka dengan musuh, bukannya menggunakan jurus sebagaimana yang didakwa.

Mereka meminta Nabi s.a.w. mendoakan agar mereka beroleh syahid. Jadi, tidak mungkin ada antara mereka yang menggunakan jurus dari jarak jauh untuk berperang dengan tentera musuh.

Mengambil Barang Ghaib Dari Jarak Jauh

Masyarakat Islam di Malaysia turut digembar-gemburkan dengan kebolehan perawat mengambil barang dari jauh, atau barang dari alam ghaib, atau menarik duit dan harta karun. Perkara ini juga merupakan sebahagian dari tipu daya syaitan terhadap manusia.

Sebenarnya, kebolehan mengambil batu permata dari perut bumi, mutiara dari lautan, objek-objek tertentu seperti singgahsana, keris dan sebagainya merupakan salah satu kebolehan yang dimiliki oleh para jin. Fakta ini sudah dinyatakan secara jelas dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. khususnya dalam ayat 12 surah Saba.

Menggunkan jin untuk membalas dendam atau beroleh keuntungan adalah perbuatan syirik dan khurafat

Oleh itu, sekiranya ada perawat yang mempunyai kebolehan membawa sesuatu dari alam ghaib atau sesuatu yang berada jauh dari kita, janganlah kita merasa takjub dan hairan. Itu semua adalah tipu daya syaitan agar kita mempercayai kehebatan perawat tanpa menyedari ia didalangi syaitan.

Islam dan Kaedah Perubatan Jarak Jauh

Islam telah menyediakan panduan kepada penganutnya dalam soal halal dan haram. Sebagaimana yang kita maklum, sumber pengambilan hukum syariat perlu berdasarkan sumber utama yang disepakati iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijma dan Al-Qiyas.

Dalam perubatan Islam, prinsip yang sama perlu diguna pakai. Segala kaedah dan bahan yang digunakan perlu mempunyai sandaran nas-nas atau pendapat ulama. Hari ini, ramai perawat yang memakai title ustaz, ustazah dan perawat Islam tetapi masih menggunakan kaedah perubatan jahiliyyah. Sesetengah mangsa terpedaya kerana mereka menggunakan ayat Al Quran.

Artikel berkaitan: siri 1 rawatan jarak jauh bolehkah digunakan dalam rawatan penyakit

Perbuatan menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah dalam surah As-Syu’ara: 221-223,

Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Ilmu sihir adalah perbuatan yang jelas merosakkan akidah dan dilaknat Allah SWT

Melalui tilikan, perawat mendakwa pesakit terkena buatan orang, dimandrem, terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Kepercayaan kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari.

Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat terlebih dahulu adakah dakwaan sedemikian benar. Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah (iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan tersebut tidak benar.

Allah S.W.T. telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh orang fasik. FirmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 6,

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang

________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram