Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

SELEPAS mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dalam satu sidang media khas petang ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuat naik satu hantaran di laman Facebooknya berjudul “Terima Kasih Rakyat Malaysia”.

Hantaran itu merupakan petikan ucapannya semasa perjumpaan perpisahan bersama pegawai Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.

Melalui video yang berdurasi 2:28 minit itu, Muhyiddin mengatakan dirinya sebagai seorang manusia biasa yang mengikut peraturan-peraturan berlandaskan perlembagaan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Saya kira saya telah buat apa yang saya fikirkan diperlukan untuk menyelamat nyawa rakyat jelata, menentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat,” katanya dalam hantaran itu.

Video pendek itu telah ditonton lebih 400,000 selepas kira-kira sejam ia dimuat naik dengan lebih 51,000 tanda suka.

Ujarnya, walaupun pentadbiran kerajaan yang ditakbirnya berada dalam keadaan sukar, masih mampu untuk diteruskan bagi membantu rakyat.

Baca artikel berkaitan: Saya mohon maaf atas kekhilafan, kelemahan – Muhyiddin

“Saya sanggup berkata apa yang benar walaupun pahit, buat apa yang Allah katakan benar,” katanya.

Awal hari ini, Muhyiddin dilihat memasuki pekarangan Istana Negara menerusi pintu 1 kira-kira jam 12.35 tengah hari tadi.

Muhyiddin hadir bagi sembah mengadap dengan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah bagi melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Beliau dilihat meninggalkan pekarangan Istana Negara kira-kira pukul 1 tengah hari tadi selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara dalam satu kenyataan kemudiannya berkata, Seri Paduka memberi perkenan susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin dan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

Baginda juga berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Sementara itu tinjuan UtusanTV pada ruangan komen turut dibanjiri pelbagai kata-kata semangat daripada rakyat.

Seorang pengguna Facebook Farah Sakirah meninggalkan komen negara telah kehilangan seorang pemimpin yang baik.

“Terima kasih Tan Sri. Semoga Kehilangan pemimpin yg baik sepertimu memberi kesedaran kepada masyarakat yg permata itu bukan mudah dicari .. Smoga rkyt malaysia dilindungi allah,” kata Farah Sakirah.

Che Noh Muhammad turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin.

“Terima kasih Abah..walaupun hanya 17 bulan je .tpi kami rasa 17 tahun aman bawah pimpinan tsmy dan Abah’ walaupun hidup dlm pademik covid22 bulan hidup bawah pimpinan ph. Macam 22 juta tahun hidup dlm kesensaraan dan penderitaan”.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram