Istana Negara, Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEMUA Ahli-Ahli Parlimen diminta menyerahkan satu surat akuan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menggalas jawatan Perdana Menteri kesembilan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sepucuk surat kepada ahli-ahli Parlimen memaklumkan surat akuan berkenaan perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum pukul 4 petang esok.

Kata beliau, Ahli-ahli Parlimen juga diminta untuk meletakkan surat tersebut bagi perhatian Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd. Alim.

Menurut Azhar Azizan, surat akuan berkenaan mesti mempunyai butiran-butiran termasuk identifikasi ahli Dewan Rakyat; identifikasi seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan; pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat serta tandatangan Ahli Dewan Rakyat terbabit.

Selain itu, beliau berkata, surat tersebut juga mesti mempunyai tandatangan serta cop rasmi saksi iaitu sama ada peguambela dan peguamcara; pesuruhjaya sumpah; notari awam atau jawatan yang setanding bagi yang berhormat yang berada di luar negara serta tarikh surat akuan.

Baca artikel berkaitan: Muhyiddin PM caretaker sehingga PM baru dilantik, PRU-15 bukan pilihan – Istana Negara

“Adalah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budi bicara baginda tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat baginda tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Pada melaksanakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kesembilan,” katanya dalam surat berkenaan.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan dalam surat tersebut turut meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan akuan itu secara faks, e-mel atau salinan pdf melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, serahan tangan tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada dalam kawasan Fasa 1 selain mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

“Perlu dijelaskan, mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas atau pun diterima lewat tidak akan diambil kira.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan surat akuan tersebut sehingga Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan mengenai perkara ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram