INSTITUT Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) telah memeterai memorandum perjanjian bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dalam bidang kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, perjanjian itu pada dasarnya adalah untuk menawarkan program pensijilan Kelayakan Bersekutu dalam Kewangan Islam (AQIF) kepada pelajar dan tenaga pengajar UNISSA.

Pada masa sama, Yusry berkata, perjanjian selama tiga tahun itu juga akan memberikan potensi lebih besar kepada IBFIM dan UNISSA meneroka penawaran lebih banyak program kewangan Islam sedia ada.

Kata beliau, ia juga memungkinkan kewujudan program baharu dibangunkan secara usaha sama antara IBFIM dan UNISSA dalam sektor-sektor termasuk kelestarian, teknologi dan kewangan sosial.

“Walaupun perjanjian yang ditandatangani ini khusus kepada AQIF tetapi kita juga boleh mengorak langkah kepada bidang lain.

“Kita mungkin boleh mengadakan satu program bukan sahaja di Brunei tetapi juga dibawa ke Malaysia atau negara lain dalam rantau ini,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.

Baca artikel berkaitan: IBFIM, CISL kerjasama kukuh kepemimpinan lestari

Perjanjian secara maya itu telah disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah bersama-sama Ahli Lembaga Pengarah IBFIM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi dan Rektor UNISSA, Dr. Norarfan Zainal.

Memorandum perjanjian itu adalah susulan memorandum persefahaman yang telah ditandatangani pada tahun 2017 yang telah menyaksikan 19 graduan dan tiga pensyarah UNISSA memperoleh pensijilan AQIF.

AQIF yang diakreditasi penuh oleh Agensi Akreditasi Kewangan (FAA) juga telah mendapat pengiktirafan dari Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Brunei.

Kerjasama itu juga diharap dapat memacu perkembangan industri kewangan Islam di Brunei sebagai negara yang berada di kedudukan ke-15 teratas di antara institusi kewangan Islam dunia selaras dengan aspirasi negara terbabit menjadi antara hab kewangan Islam antarabangsa.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram